
BEKENU: Terima kasih para guru yang telah mencurahkan tenaga dan kasih sayang dalam mendidik, menanam benih harapan untuk masa depan anak-anak.
Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Sibuti (SJKCHS), Sim Soon Wian berkata, tanggungjawab dan keprihatinan guru menjadi sumber kekuatan yang mendorong sekolah ini terus maju.
“Saya mewakili Lembaga Pengarah Sekolah Rendah Cina dan Tadika Sibuti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih sekali lagi kepada semua guru atas dedikasi dan usaha gigih dalam mendidik anak-anak kita.
“Kepada ibu bapa, teruskan sokongan dan kerjasama yang berterusan terhadap usaha sekolah, hidangan yang disediakan hari ini bukan sahaja menghangatkan hati, malah mencerminkan hubungan erat antara rumah dan sekolah.
“Marilah kita terus berganding bahu untuk mencipta persekitaran pembelajaran yang lebih baik dan penuh harapan bagi anak-anak kita,” katanya pada majlis Hari Guru, Hari Raya dan Hari Gawai 2025, Jumaat lepas.
Sementara itu, Guru Besar SJKS Tiong Yieug Nee berkata, sambutan tiga perayaan ini bukan sahaja mencerminkan kegembiraan dan rasa syukur, tetapi juga menonjolkan budaya inklusif dan semangat perpaduan dalam komuniti sekolah kita.
“Pertama, sempena Hari Guru, marilah bersama menghargai jasa dan pengorbanan para pendidik yang telah berusaha gigih dalam mendidik anak-anak kita.
“Komitmen dan semangat para guru adalah tunjang kepada kemajuan sekolah dan perkembangan murid-murid,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola Tadika Sibuti Law Eng Kwong dan para ibu bapa pelajar SJKCHS.
Oleh Adum Liu