KUCHING: Perbezaan pandangan mengenai konsep semak dan imbang (check and balance), peranan pembangkang serta kepentingan perpaduan politik Sarawak mewarnai Sesi Debat dan Dialog Terbuka bertajuk Kerajaan, Pembangkang, Semak dan Imbang yang berlangsung di Dewan Komuniti di sini malam tadi.
Program anjuran Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE) bersama beberapa pertubuhan masyarakat sivil (CSO) itu menampilkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii, mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Dalam sesi berkenaan, Wilfred menegaskan bahawa keutamaan konsep semak dan imbang di Sarawak ketika ini adalah hubungan antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam memperjuangkan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, kekuatan Sarawak terletak pada perpaduan rakyat di bawah satu hala tuju yang jelas bagi memastikan suara negeri terus kukuh dalam menuntut hak serta melaksanakan agenda pembangunan.
“Perkara paling penting adalah seluruh rakyat Sarawak mesti bersatu hati dan bersuara dalam satu nada. Konsep semak dan imbang politik seperti di Semenanjung mungkin tidak semestinya terpakai sepenuhnya di Sarawak kerana apa yang diperlukan ialah perpaduan di bawah GPS dan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Sarawak Jaga Sarawak,” katanya.

Wilfred turut menjelaskan bahawa kerajaan Sarawak mempunyai mekanisme tadbir urus dan kawalan dalaman tersendiri bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan baik dan berkesan.
Beliau menambah, fokus kerajaan negeri ketika ini adalah terhadap pelbagai agenda pembangunan termasuk tenaga boleh diperbaharui, transformasi digital, ekonomi hijau, pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Tanjung Embang, syarikat penerbangan milik negeri AirBorneo serta penggunaan teknologi baharu seperti satelit nano.
Sementara itu, Kelvin pula menegaskan bahawa peranan kerajaan dan pembangkang adalah saling melengkapi dalam memastikan setiap dasar dan pelaksanaan pembangunan melalui proses semak dan imbang yang sihat.
Beliau berkata, walaupun GPS dijangka terus membentuk kerajaan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kewujudan pembangkang yang berkesan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tetap penting bagi memperkukuh amalan demokrasi.
“Saya percaya GPS berkemungkinan akan terus memperoleh majoriti dua pertiga. Namun, kewujudan pembangkang yang kredibel di DUN akan mewujudkan kepelbagaian pandangan dan membantu memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Kelvin turut menyifatkan penganjuran debat terbuka seperti itu sebagai platform penting dalam memupuk budaya demokrasi yang matang, selain memberi ruang kepada perbezaan pandangan dibincangkan secara terbuka dan berhemah.
Debat berkenaan turut dihadiri golongan belia, wakil pertubuhan masyarakat sivil dan pengamal media yang mengikuti perbincangan mengenai sistem demokrasi, tadbir urus serta hala tuju pembangunan Sarawak.
Oleh Afiq Sallehi




