
TOKYO: Beregu campuran negara, Edmund Teo-Boon Wei Ying menyumbang pingat pertama buat kontinjen Malaysia di Deaflympics 2025 selepas menundukkan pasangan India dalam perlawanan penentuan gangsa di sini hari ini.
Dalam aksi di Keio Arena Tokyo, Edmund-Wei Ying hanya memerlukan 39 minit untuk menewaskan Abhinav Sharma-Jerlin Jayaratchagan 21-13, 23-21.
Kejayaan itu sekali gus mengubati kekecewaan gagal mara ke final untuk memburu emas pertama negara selepas tewas kepada gandingan Korea Selatan dalam aksi separuh akhir sebelum ini.
Sementara itu, Edmund berkata perjalanan mereka ke podium yang penuh cabaran menjadikan kemenangan itu cukup bermakna.
“Kalau ikutkan pada waktu mata akhir yang ke-20 tadi, memang saya yakin kita boleh menang tapi (tidak mengapa). Kami telah memberikan sehabis baik untuk Malaysia semasa perlawanan tadi,” katanya kepada pemberita melalui jurubahasa isyarat.
Rakan gandingannya, Wei Ying yang kelihatan beremosi sebaik perlawanan berakhir berkata perasaan itu hadir selepas mereka gagal menempah slot final, namun tetap bersyukur dengan kejayaan meraih gangsa.
“Walaupun bukan emas, kami tetap berjaya menghadiahkan pingat untuk Malaysia dan kami berterima kasih kepada barisan kejurulatihan yang sentiasa memberi dorongan untuk ke Deaflympics 2025,” katanya.
Lebih manis apabila Edmund-Wei Ying berjaya menebus kekalahan terhadap gandingan India itu yang menewaskan mereka pada perlawanan akhir Deaflympics edisi 2022.
Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF) sebelum ini menyasarkan tiga pingat emas pada Deaflympics 2025 termasuk dua daripada acara badminton. – Bernama