
PETRA JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak disaran melakukan anjakan pendekatan dan kaedah pelaksanaan program seiring dengan perkembangan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI) agar terus kekal relevan di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro yang juga Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia, Safiee Ahmad berkata perubahan pesat dalam landskap teknologi menuntut DBP untuk bersedia dengan pendekatan kerja yang lebih segar, bersesuaian dengan keperluan masyarakat hari ini.
“Dalam usia penubuhannya yang telah mencecah 48 tahun, DBP Sarawak perlu memahami kedudukannya serta bersedia menghadapi sebarang bentuk perubahan yang berlaku, sama ada secara terancang atau sebaliknya,” katanya ketika menyempurnakan majlis Lestari Bahasa 2025 di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak malam tadi.
Menurut beliau, selain faktor teknologi, keluasan geografi Sarawak turut menjadi cabaran utama dalam pelaksanaan program bahasa dan sastera, terutamanya dari segi kos dan masa.
Jelas Safiee, sinergi dan jalinan kerjasama antara DBP dan pelbagai agensi luar termasuk badan kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan wajar diteruskan sebagai antara pendekatan terbaik dalam mendepani cabaran tersebut.

“Kerjasama ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos pelaksanaan malah mampu meningkatkan keberkesanan sesuatu program,” ujarnya.
Pada majlis sama, dua individu telah diberi pengiktirafan sebagai Tokoh Lestari Bahasa, iaitu Jais Sahok dan Zasran Abdullah atas sumbangan mereka dalam memartabatkan bahasa kebangsaan melalui penglibatan aktif dalam kegiatan kebahasaan di negeri ini.
Wartawan dan penulis veteran, Rudi Affendi Khalik turut menerima Anugerah Tinta Warta DBP sebagai menghargai komitmennya yang berterusan dalam memberikan sokongan melalui penulisan dan idea yang memperkukuh agenda bahasa dan sastera kebangsaan.
Oleh Amanda L.