KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan membuka permohonan petak jualan untuk Bazar Ramadan Satok pada 21 Januari ini, Selasa depan dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Bazar ini dianjurkan sempena sambutan Ramadan yang bakal berlangsung dari 2 hingga 30 Mac depan.
Sebanyak 94 petak jualan disediakan dengan kadar bayaran ditetapkan pada RM450 untuk petak minuman dan makanan, manakala petak panggang dikenakan bayaran sebanyak RM500.
Permohonan boleh dibuat secara atas talian di laman sesawang DBKU. Pemohon diminta mengemukakan nombor telefon dan alamat e-mel yang sah untuk memudahkan pihak DBKU memaklumkan keputusan permohonan.
Selain itu, dokumen lengkap seperti gambar pemohon dan pembantu, salinan kad pengenalan, sijil kursus pengendali makanan, serta laporan pemeriksaan kesihatan bersama suntikan typhoid atau kad pengendali makanan DBKU perlu dimuat naik.
DBKU menegaskan hanya permohonan lengkap akan diproses, manakala pemohon yang berjaya akan dihubungi untuk menghadiri sesi taklimat, cabutan nombor petak, dan pembayaran pada 8 Februari 2025 di Auditorium DBKU, Bukit Siol, Jalan Semariang.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bahagian Pelesenan DBKU di talian 082-512955.