
KUCHING: Orang awam yang masih memiliki kupon letak kereta sedia ada diminta memulangkannya sebelum 30 November 2025, berikutan pelaksanaan Sistem Letak Kereta Pintar Kuching (Kuching Smart Parking System) yang akan menggantikan sistem kupon mulai esok.
Menurut kenyataan bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) baru-baru ini, pemulangan kupon hanya melibatkan baki kupon yang dibeli antara 1 Januari hingga 31 Oktober 2025 dan boleh dibuat di Pejabat Kuching City Parking System, Aras Bawah, Lot 9688 dan 9692, Jalan Datuk Abang Abang Abdul Rahim, Kuching.
Pelaksanaan sistem pintar itu menandakan berakhirnya penggunaan kupon gores yang telah lama digunakan di bandar raya ini.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kedua-dua pihak berkuasa tempatan untuk mempertingkatkan kemudahan kepada pengguna, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan serta menyokong aspirasi menjadikan bandar raya Kuching sebagai bandar raya pintar dan mampan.
Melalui sistem baharu ini, pengguna akan menikmati pengalaman lebih mudah dan efisien kerana semua urusan pembayaran dilakukan secara digital tanpa memerlukan kupon fizikal.
Langkah ini juga sejajar dengan komitmen DBKU dan MBKS untuk mengurangkan penggunaan bahan berasaskan kertas bagi menyokong amalan mesra alam.
DBKU dan MBKS menegaskan bahawa kupon letak kereta sedia ada tidak lagi sah digunakan selepas sistem baharu dikuatkuasakan, dan orang ramai digalakkan membuat tuntutan pemulangan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan menjelang tarikh akhir.
Oleh Amanda L