
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini melancarkan Kalendar Acara 2026 di Padang Merdeka Kuching, menampilkan 36 program merangkumi acara tahunan dan bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung sepanjang tahun.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Penyelaras Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penganjuran pelbagai acara tersebut bertujuan memastikan kemeriahan aktiviti bandar raya ini seiring dengan bandar raya lain di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, antara fokus utama DBKU adalah penganjuran acara tonggak yang melibatkan penyertaan peserta dari luar negara, khususnya dalam bidang seni, budaya dan sukan.

“Salah satu acara baharu yang diperkenalkan ialah Pesta Seni dan Kraf Antarabangsa Kuching, yang telah dianjurkan pada 2025 dan menerima penyertaan daripada 35 negara. Acara ini akan diteruskan pada tahun ini dengan sasaran penyertaan yang lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Kalendar Acara 2026 di Padang Merdeka Kuching, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, sebahagian besar acara yang disenaraikan dalam kalendar tersebut akan berlangsung dari Januari hingga Disember, sekali gus memberi pengisian berterusan kepada warga kota dan pengunjung.
Tambahnya, penganjuran acara secara konsisten juga berperanan mengukuhkan imej Kuching sebagai bandaraya yang aktif, dinamik dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Oleh Adele Rissa