Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • David bertemu Goliath apabila Cape Verde berdepan Argentina kendalian Messi di Piala Dunia
  • SUKAN

David bertemu Goliath apabila Cape Verde berdepan Argentina kendalian Messi di Piala Dunia

Utusan Sarawak 6 hours ago
JURULATIH Cape Verde, Bubista.

LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Perlawanan ibarat ‘David menentang Goliath’ bakal menjadi tumpuan pada aksi Piala Dunia pada 6.00 pagi esok (waktu Malaysia) apabila negara terkecil, Cape Verde, berdepan juara bertahan, Argentina yang diketuai Lionel Messi, dengan tiket ke pusingan 16 terakhir menjadi pertaruhan.

Cape Verde, negara terkecil yang pernah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia, akan menentang juara bertahan itu di Miami sambil mengimpikan kejutan yang boleh dianggap antara yang terbesar dalam sejarah kejohanan.

Negara kepulauan di Lautan Atlantik itu muncul sebagai antara kisah dongeng dalam edisi sulung Piala Dunia yang disertai 48 pasukan apabila mengikat Sepanyol sebelum mara ke pusingan 32 terakhir dengan menamatkan saingan di hadapan Uruguay dan Arab Saudi dalam Kumpulan H.

Argentina pula melangkah bergaya ke pusingan kalah mati hasil enam gol yang dijaringkan kaptennya, Messi, dan dijangka tidak berdepan masalah menewaskan wakil Afrika itu dalam usaha mempertahankan gelaran dunia.

Namun, Cape Verde menegaskan mereka tidak gentar berdepan juara dunia itu serta Messi, pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali.

JURULATIH Argentina, Lionel Scaloni.

“Kami tenang kerana kami layak berada di sini berdasarkan merit dan tiada apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan,” kata jurulatih Cape Verde, Bubista.

“Kami sedar betapa pentingnya perlawanan ini. Ia merupakan perlawanan terbesar dalam hidup kami, tetapi kami akan menikmatinya dan memberikan yang terbaik. Tiada perkara lain dalam fikiran kami selain cuba mara ke pusingan seterusnya.”

Pemain tengah Cape Verde yang dilahirkan di Belanda, Deroy Duarte, turut yakin pasukannya mampu mencipta sejarah.

“Segala-galanya merupakan satu penghormatan dan ganjaran. Kami melihat perlawanan menentang Argentina sebagai satu lagi peluang untuk mencipta sejarah.

“Jadi, mengapa tidak? Kami akan memberikan segala-galanya dan selepas tamat perlawanan nanti, kita akan lihat keputusannya.”

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, yang bakal mengendalikan perlawanan ke-100 bersama skuad kebangsaan, menegaskan pasukannya tidak akan memandang rendah Cape Verde yang menamatkan saingan peringkat kumpulan tanpa kalah.

“Ini ialah pasukan yang belum pernah tewas.

“Mereka bukan berada di sini secara kebetulan. Kami menghormati mereka dan itulah yang akan kami lakukan.”

Jika menang, Argentina akan menentang pemenang perlawanan antara Australia dan Mesir dalam pusingan 16 terakhir. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Nagelsmann letak jawatan sebagai jurulatih Jerman
Next: Perancis jadi pilihan mara ke suku akhir Piala Dunia 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.