
LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Ikon bola sepak, David Beckham, menyertai kelompok elit dunia hiburan apabila beliau dianugerahkan bintang di Hollywood Walk of Fame pada Jumaat, beberapa jam sebelum Amerika Syarikat menjadi tuan rumah perlawanan pertama Piala Dunia 2026.
Bintang filem legenda, Tom Cruise, hadir bagi memberi penghormatan kepada Beckham, yang menurutnya telah mengubah wajah bola sepak di Amerika Syarikat.
Bekas kapten Manchester United dan England itu, 51, berkata kepada ribuan peminat di boulevard terkenal itu bahawa detik tersebut merupakan “saat yang benar-benar luar biasa”.
“Saya sentiasa seorang yang bermimpi, tetapi saya tidak pernah membayangkan bahawa penghormatan seperti ini akan diberikan kepada seorang pemain bola sepak Inggeris kelas pekerja seperti saya,” katanya.

“Lebih bermakna apabila ia berlaku ketika kita bersiap sedia untuk menyambut pembukaan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat.
“Ia satu detik yang penting untuk mengiktiraf bagaimana sukan yang saya cintai ini telah berkembang di negara ini sepanjang tiga dekad lalu.”
Beckham, yang beraksi selama enam musim bersama LA Galaxy bermula 2007, berkata beliau amat berbesar hati menerima penghormatan daripada bintang filem Hollywood.
“Berdiri di sini di hadapan rakan saya Tom Cruise, bintang filem terhebat zaman ini, benar-benar sesuatu yang sukar dipercayai,” katanya.
“Anda menyambut kami ke Los Angeles 20 tahun lalu, dan anda telah menjadi rakan setia serta sumber inspirasi kepada saya sejak itu,” katanya kepada pelakon tersebut.

Bintang filem Mission: Impossible itu pula berkata tempoh Beckham di Los Angeles memainkan peranan besar dalam perkembangan bola sepak di Amerika Syarikat.
Kedatangan Beckham “telah mengubah sukan ini di negara ini. Orang yang sebelum ini tidak pernah menonton bola sepak tiba-tiba mempunyai sebab untuk menontonnya.
“Apabila David tiba, Major League Soccer mempunyai 13 pasukan. Hari ini, ia mempunyai 30 pasukan. Itulah impak yang kita raikan hari ini: bukan sekadar kerjaya luar biasa, tetapi legasi yang mengubah hala tuju sukan ini.”
Isteri Beckham, Victoria Beckham, bekas anggota kumpulan Spice Girls yang kini pereka fesyen dan ahli perniagaan, berkata bola sepak kini berkembang pesat di Amerika Syarikat.
“Bola sepak di Amerika sedang memasuki salah satu fasa paling menarik dalam sejarahnya, sekali gus menjadikan penghormatan ini lebih bermakna pada masa yang tepat,” katanya.
Amerika Syarikat, yang menjadi tuan rumah Piala Dunia buat kali pertama pada 1994, berkongsi penganjuran kejohanan tahun ini bersama Mexico dan Kanada.
Pasukan kebangsaan Amerika Syarikat akan membuat penampilan pertama di Los Angeles pada Jumaat menentang Paraguay.
Beckham bersara pada 2013 selepas dua dekad beraksi bersama beberapa kelab ternama dunia termasuk Real Madrid, AC Milan dan Paris Saint-Germain.
Beliau kemudian melabur dalam Inter Miami CF, yang menandatangani bintang Argentina, Lionel Messi pada 2023 dan menjuarai MLS musim lalu buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.
Beckham turut menceburi industri hiburan dengan menubuhkan syarikat produksi kandungan Studio 99 pada 2019. — AFP