KUCHING: Bekas Ahli Parlimen Lubok Antu, Datuk William Nyallau Badak, 71, hari ini keluar daripada Parti Bersatu Sarawak (PSB) dan berikrar menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada Setiausaha Agung PSB dan salinan kepada Presiden parti itu.
“Berikutan keputusan pilihan raya negeri 2021, saya telah membuat kesimpulan bahawa untuk melindungi kepentingan kita, perpaduan rakyat Sarawak adalah yang paling penting.
“Sarawak hanya kuat apabila rakyat Sarawak bersatu sebagai satu dan tidak seharusnya berpecah-belah. Kita mesti bersatu sebagai satu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut mengakui GPS telah membangunkan Sarawak dengan baik untuk kepentingan rakyat Sarawak dibawah kepemimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Oleh itu, saya ingin menekankan semula bahawa ‘perpaduan adalah kekuatan’ dan saya telah memutuskan untuk berhenti daripada PSB dan menyokong GPS.
“Bersama-sama, kita boleh membina Sarawak yang lebih kukuh. Bersama-sama, kita boleh memperjuangkan hak kita. Bersama-sama, kita boleh menuntut semula semua milik kita, rakyat Sarawak, selama ini dan menggerakkan Sarawak ke arah masa depan yang lebih cerah.
“Saya berharap agar rakyat Sarawak dapat bersatu dan menyokong penuh serta mengundi GPS pada pilihan raya akan datang,”katanya.
Nyalau berkata, walaupun beliau bukan lagi Ahli Parlimen selepas 2018, dirinya bersedia untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Lubok Antu.
Malangnya, kata beliau, sebelum PRU-14 2018, atas sebab beberapa salah faham, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing telah menggugurkannya dan beberapa penyandang Ahli Parlimen PRS yang akhirnya membuktikan kesilapan.
“Justeru untuk terus berkhidmat kepada rakyat, saya cuba dipilih sebagai ADUN Batang Ai semasa Pilihan Raya Negeri 2021.
“Namun, daripada keputusan pilihan raya itu, saya sedar bahawa rakyat kita bijak. Mereka lebih suka pasukan yang kuat dan mereka melihat kepentingan perpaduan untuk Sarawak dan menyokong kuat GPS.
“Demi Sarawak, dan fikiran terbuka, saya ingin menekankan kepentingan ‘perpaduan rakyat Sarawak’.
Sebelum ini, Wlliam Nyalau pernah berkhidmat sebagai kakaitangan awam sejak 1973 sebagai Pegawai Tadbir Sarawak di pelbagai tempat hampir di seluruh negeri.
Pada 2008, beliau meletak jawatan dan dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen Lubok Antu dan terus mengekalkan kerusi itu hingga tidak dicalonkan semula pada PRU-14 2018.
Beliau digugurkan daripada PRS pada 22 April 2018.
Oleh Azreen Keria