Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Datuk Sharbini Suhaili dilantik semula ke Lembaga IHA
  • NASIONAL

Datuk Sharbini Suhaili dilantik semula ke Lembaga IHA

Utusan Sarawak 2 days ago
DATUK Sharbini Suhaili, dipilih semula menganggotai Lembaga Persatuan Hidrokuasa Antarabangsa (IHA).

KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili, sekali lagi mengharumkan nama negeri apabila dilantik semula sebagai ahli Lembaga Persatuan Hidrokuasa Antarabangsa (IHA) bagi penggal 2025–2027.

Pemilihan tersebut menempatkan beliau dalam kelompok 18 pemimpin tenaga hidro dunia yang mewakili enam rantau utama — Afrika, Amerika Utara dan Tengah, Amerika Selatan, Eropah, Asia Selatan dan Tengah serta Asia Timur dan Pasifik — untuk penggal dua tahun bermula September 2025.

Lembaga ini akan menjadi pemacu strategi IHA dalam mengukuhkan agenda peralihan tenaga bersih sejagat.

Sharbini bukanlah nama asing dalam komuniti hidro antarabangsa. Sejak menyertai IHA pada 2017, beliau telah beberapa kali dipilih semula (2019, 2021 dan 2023), sekali gus menegaskan kepimpinan beliau dalam memperjuangkan hidro lestari bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga rantau Asia Tenggara.

“Pemilihan semula ini adalah pengiktirafan kepada usaha berterusan Sarawak Energy dalam menjadikan hidro lestari sebagai tunjang tenaga mampu milik, boleh dipercayai dan boleh diperbaharui, di samping menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan PBB (UN SDG). Ini adalah kejayaan Sarawak, bukan saya seorang,” ujar beliau.

Di bawah kepimpinannya, Sarawak Energy berjaya membawa perubahan besar apabila hidro berskala besar akhirnya diiktiraf sebagai sebahagian daripada tenaga boleh diperbaharui negara pada 2021.

Pencapaian ini meletakkan Sarawak sebagai pemacu utama tenaga hijau Malaysia, dengan Sarawak Energy kini muncul sebagai pemaju tenaga boleh diperbaharui terbesar di tanah air.

Beliau menambah bahawa walaupun Sarawak Energy beroperasi dari Borneo, organisasi itu berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa hasil komitmen yang konsisten.

“Kami mungkin kecil berbanding gergasi lain, namun usaha kami membuktikan Sarawak mampu memberi impak besar dalam perbincangan global mengenai tenaga dan kelestarian,” tegasnya.

Sarawak Energy turut memastikan setiap loji dan projek hidroelektrik dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa seperti Standard Kelestarian Hidrokuasa, garis panduan Suruhanjaya Antarabangsa bagi Empangan Besar serta mematuhi Deklarasi San Jose yang hanya menerima hidro yang benar-benar lestari.

Ditubuhkan pada 1995 di bawah naungan UNESCO, IHA kini merupakan platform paling berpengaruh dalam komuniti hidro global, dengan keanggotaan merentasi lebih 100 negara.

Pada 2023, Sharbini turut diberi penghormatan sebagai salah seorang penceramah utama di Kongres Hidrokuasa Dunia, forum dwitahunan berprestij yang menghimpunkan pemimpin industri, kerajaan, institusi kewangan dan masyarakat sivil bagi merangka masa depan tenaga hidro lestari dunia.

Continue Reading

Previous: Penghuni rumah gempar ular sawa lebih 80kg jatuh dari siling
Next: Lebuh Raya Pan Borneo, infrastruktur kesihatan tumpuan perbahasan Dewan Negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.