(Bahagian Pertama)

SALAH seorang tokoh penting dalam sejarah Sarawak adalah Datuk Patinggi Abdul Ghapur. Ketokohannya tidak banyak dikenali oleh generasi hari ini.
Ini kerana sejarah tentang beliau tidak banyak mendapat tempat dalam penulisan sejarah negara.
Keadaan ini berlaku kerana tidak banyak maklumat dapat kita ketahui tentang beliau kecuali daripada pandangan orang Barat. Orang Barat khususnya pada zaman Brooke menukil gambaran tentang beliau dalam pandangan yang negatif.
Beliau dikaitkan sebagai seorang pembesar Melayu yang memeras penduduk tempatan dan mengkhianati kerajaan Brooke.
Sentrik Barat
Hal ini boleh dikaitkan dengan konsep White Man’s Burden atau beban orang putih. Konsep ini merujuk kepada wacana kolonial yang menggambarkan masyarakat Barat sebagai golongan yang penuh belas ihsan, luhur dan dermawan dalam usaha ‘membantu’ masyarakat lain, khususnya di Asia dan Afrika, yang dianggap masih mundur dari segi ketamadunan.

Atas dasar pemikiran tersebut, penulisan Barat pada era penjajahan lazimnya meletakkan bangsa Barat pada kedudukan lebih tinggi.
Sehubungan itu, pemimpin tempatan yang tidak sehaluan dengan kepentingan kolonial sering digambarkan secara negatif, iaitu sebagai pemerintah yang zalim, menindas, atau tidak berkeupayaan.
Latar belakang
Hal ini terjadi kepada Datuk Patinggi Abdul Ghapur. Latar belakang tentang tokoh ini tidak banyak diketahui. Beliau hanya dinyatakan sebagai menantu kepada Datuk Patinggi Ali.
Apabila Datuk Patinggi Ali meninggal dunia, beliau dilantik sebagai Datuk Patinggi. Sebelum kedatangan James Brooke tidak banyak diketuai tentang beliau.
Apa yang ada hanyalah maklumat daripada beliau semasa dalam satu pertanyaan dilakukan atas inkues ke atas James Brooke.
Daripada pertanyaan-pertanyaan Suruhanjaya Siasatan itu, beliau banyak memberi maklumat tentang peranan beliau sebelum kedatangan James Brooke.
Antara perkara disentuh oleh beliau adalah usahanya bersama-sama penduduk Sarawak yang pelbagai kaum termasuk orang Dayak Sarawak mempertahankan Sarawak daripada serangan penduduk dari Skrang dan Saribas.
Beliau menjaga kawasan beliau dengan baik dan menyatukan penduduk Sarawak daripada aktiviti-aktiviti pelanunan.
Penentangan
Dalam maklumat-maklumat lain diperoleh, dikenal pasti juga beliau bersama-sama dengan pembesar dan penduduk Sarawak melawan pentadbiran langsung dari Brunei.
Peristiwa penentangan ini membawa kepada campur tangan James Brooke ke Sarawak.
Selepas James Brooke menjadi pemerintah di Sarawak, ketokohan beliau juga dibayangi oleh Datuk Patinggi Ali. Hubungan beliau dengan Datuk Patinggi Ali adalah menantu dan bapa mertua.
Selepas Datuk Patinggi Ali meninggal dunia di Karangan Peris, nama beliau mula menyerlah bersama-sama dengan beberapa tokoh pembesar Sarawak seperti Datuk Bandar Muhammad Lana, Temenggung Mersal dan Abang Fata.
Namun ketinggian peranan beliau ini dicurigai oleh pihak pemerintah malahan pembesar Melayu yang lain.
Curiga
Apabila beliau dilantik sebagai Datuk Patinggi, peranannya menjadi semakin penting. Pada ketika itu, jawatan Datuk Patinggi bukan sekadar simbolik atau gelaran tanpa fungsi, sebaliknya mempunyai kuasa dan tanggungjawab yang nyata.

Datuk Patinggi Abdul Ghapur memerintah di Sadong, dan di bawah pentadbirannya beberapa kelompok masyarakat berada di bawah naungan beliau, termasuklah kaum Sow, Surumbu, Bombok, S’nta, Setabang, Segu Sempro, S’bungo, Bra’ang, Samban dan lain-lain, yang merangkumi sebanyak 16 kaum dari pelbagai daerah.
Jaringan kepemimpinan dan pengaruh yang luas inilah yang menimbulkan kebimbangan serta kecurigaan Raja James Brooke terhadap kedudukan beliau.
Dalam suasana curiga dihati James Brooke ini, timbul pula cerita-cerita yang menunjuk sisi gelap ketokohan yang bernama Datuk Patinggi Abdul Ghapur.
Beliau dikatakan sebagai pemimpin yang menindas orang dibawah pemerintahannya. Dalam hal ini beliau dikatakan memaksa penduduk dibawah pentadbirannya menjual barang mengikut syarat yang dikenakan oleh beliau. Penduduk ini dikatakan takut kepada beliau.
Dalam hal yang lain beliau juga dikatakan seorang yang boleh dipercayai dan baik. Hal ini menyukarkan James Brooke untuk mensabitkan beliau dengan tuduhan-tuduhan penindasan ini.
Kesetiaan
Walaupun timbul rasa curiga James Brooke dan pegawai-pegawai Brooke terhadap Datuk Patinggi Abdul Ghapur tetapi tokoh ini sering ditonjolkan sebagai seorang yang setia.
Ini kerana beliau mengikut semua ekspedisi Brooke melawan penduduk di Skrang dan Saribas.
Pada tahun 1844, beliau menyertai Kapten Keppel dalam menundukkan musuh di Skrang dan Saribas. Selain itu beberapa lagi ekspedisi dilakukan oleh kerajaan Brooke disertai oleh beliau seperti dalam tahun 1843 dan 1849.
Selain ekspedisi ini, beliau juga pernah membantu penduduk Sarikei daripada serangan dari Skrang dan Saribas. Bantuan ini berjaya mempertahankan Sarikei.
Sokongan Datuk Patinggi Abdul Ghapur ini terhadap usaha menghapuskan musuh kerajaan Brooke tidak melenyapkan kecurigaan terhadap beliau.
Raja James Brooke juga bertindak untuk memecah pengaruh beliau dengan melantik penghulu di kawasan pemerintahan beliau.
Tindakan Raja James Brooke ini sedikit sebanyak membawa rasa tidak puas hati Datuk Patinggi Abdul Ghapur.
Menambah rasa curiga Raja James Brooke terhadap Datuk Patinggi Abdul Ghapur ini adalah perkahwinan anak beliau dengan adik Sharip Masahor.
Sharif Masahor sering dianggap sebagai tokoh utama yang berpotensi menggugat kedudukan pemerintahan Brooke di Sarawak.
Sebagai seorang pemimpin tempatan yang mempunyai pengaruh besar, khususnya di kawasan Mukah dan kalangan masyarakat Melayu serta Melanau, beliau berjaya membina jaringan sokongan politik dan ketenteraan yang luas.
Hal ini menimbulkan rasa curiga pihak kolonial terhadap kewibawaan dan pengaruhnya.
Kecurigaan tersebut semakin memuncak selepas peristiwa pembunuhan dua orang pegawai Brooke di Kanowit pada tahun 1859, yang mendorong Charles Brooke, anak saudara Raja James Brooke, untuk menuduh Sharif Masahor sebagai dalang di sebalik kejadian tersebut.
Peristiwa ini menjadi titik penting dalam memperkukuh persepsi pihak Brooke bahawa Sharif Masahor merupakan ancaman langsung terhadap kelangsungan pemerintahan mereka di Sarawak.
Pelucutan
Raja James Brooke kemudiannya mengadakan satu mesyuarat awam bagi membincangkan kedudukan Datu Patinggi Abdul Ghapur.
Dalam mesyuarat tersebut, beliau telah dituduh sebagai pengkhianat dan diberikan kata dua sama ada tunduk kepada pemerintahan Brooke atau berdepan dengan hukuman mati.
Datu Patinggi Abdul Ghapur akhirnya akur untuk menunjukkan taat setia kepada kerajaan Brooke. Bagaimanapun, beliau dilucutkan jawatan sebagai Datu Patinggi dan diberikan peluang untuk menunaikan ibadah haji. Beliau bersetuju untuk mengerjakan haji di Makkah.
Raja James Brooke berharap agar pemergian beliau ke Makkah akan mengurangkan pengaruhnya di Sarawak apabila beliau balik nanti.
Kisah Datu Patinggi Abdul Ghapur ini satu sejarah yang penuh dengan kesetian, pengorbanan, pengkhianatan dan pengorbanan.
Bahagian kedua akan dibicarakan perjuangan Datuk Patinggi Abdul Ghapur yang terpaksa berdepan dengan pelbagai lagi tuduhan yang mengatakan beliau menentang kerajaan Brooke.
Hal ini satu yang menarik ditelitikan kerana ia dikaitkan dengan perjuangan anak tempatan Sarawak dalam menegakkan kedaulatan kekuasan anak tempatan di tanah airnya.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).