Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Datuk Ngu gesa kerajaan Sarawak kaji semula yuran FWTA yang tinggi
  • TEMPATAN

Datuk Ngu gesa kerajaan Sarawak kaji semula yuran FWTA yang tinggi

Utusan Sarawak 2 hours ago
Datuk Dr. Ngu Piew Seng.

SRI AMAN: Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sri Aman, Datuk Dr. Ngu Piew Seng, menggesa kerajaan Sarawak meneliti semula kadar bayaran tinggi di bawah Pendekatan Transformasi Pengurusan Pekerja Asing (FWTA) yang disifatkan membebankan majikan dan tidak pernah berlaku di negeri lain di Malaysia.

Ngu berkata, kos permohonan berjumlah RM1,854 bagi setiap pekerja asing atau RM2,002.30 termasuk cukai perkhidmatan merupakan kenaikan mendadak berbanding sistem sebelum ini.

“Sebelum FWTA diperkenalkan pada 15 Januari lalu, majikan hanya perlu membayar pemeriksaan kesihatan, yuran permit dan levi. Namun kini mereka diwajibkan menanggung tambahan hampir RM2,000 seorang termasuk bayaran kelulusan prinsip, lesen buruh, visa rujukan, pendaftaran sistem kesihatan Safhis dan kad pengenalan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menegaskan pelaksanaan FWTA memberi tamparan hebat kepada industri berintensifkan tenaga kerja seperti perladangan, pembinaan, perabot, pembuatan dan pembinaan kapal, selain berdepan peningkatan yuran persekutuan dari tahun ke tahun.

Ngu turut membangkitkan persoalan mengenai jumlah kutipan yuran yang dianggarkan mencecah RM197 juta sejak FWTA dikuatkuasakan Januari lalu, berdasarkan 18,554 permohonan kelulusan prinsip dan 106,242 kuota diluluskan.

“Pemain industri berhak tahu berapa kos sebenar membangunkan sistem ini, sama ada yuran tersebut munasabah dan siapa yang mendapat manfaat daripada kutipan ini. Jawapan umum seperti ‘analisis kos faedah telah dibuat’ tidak mencukupi. Ketelusan perlu diberi keutamaan,” tegasnya.

Menurutnya, walaupun kerajaan mendakwa sistem baharu itu dapat menjimatkan masa dan meningkatkan kecekapan, FWTA masih dalam fasa peralihan dengan masalah teknikal yang kerap berlaku.

Beliau mencadangkan kerajaan menilai semula struktur yuran FWTA, mempertimbangkan pengurangan atau pengecualian bayaran RM1,854 serta menangguhkan kutipan sehingga sistem benar-benar stabil.

Ngu juga mendesak laporan penuh berkaitan kos pelaburan, pembangunan sistem dan pihak pengendali FWTA didedahkan kepada umum.

“Sarawak satu-satunya negeri yang mengenakan yuran setinggi ini. Jika ia dianggap tidak munasabah, ia akan menjejaskan daya saing industri, menghalang pelaburan dan memberi kesan negatif kepada sektor berintensifkan buruh. Kami menyokong reformasi, tetapi reformasi itu mesti munasabah, telus, mampan dan selaras dengan kemampuan sektor yang terjejas,” katanya.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Belanjawan Sarawak 2026 fokus kebajikan, pendidikan dan pembangunan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.