
KUCHING: Suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, iaitu Allahyarham Datuk Kamil Misuari, telah kembali ke rahmatullah hari ini.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi Pejabat Menteri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Pejabat Khidmat Rakyat Kawasan Parlimen P193 Santubong petang tadi.
Menurut kenyataan itu, jenazah Allahyarham akan diuruskan terlebih dahulu di Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke Kuching esok bagi urusan penghormatan terakhir dan pengebumian.
Jenazah Allahyarham akan ditempatkan di kediaman rasmi Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong, di Taman Serira, Jalan Menggeris, Petra Jaya bagi memberi peluang kepada ahli keluarga, sahabat handai, kenalan serta orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir.
Bagaimanapun, waktu bagi sesi penghormatan terakhir akan dimaklumkan kemudian.
Allahyarham seterusnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Kuching.
Sehubungan itu, pelbagai pihak mula menzahirkan ucapan takziah kepada Nancy dan seluruh ahli keluarga atas kehilangan insan tersayang serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Oleh Shahrul Qaizat