
PETRA JAYA: Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datu Felicia Tan Ya Hua, memulakan tugas baharunya sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) menerusi satu majlis serah tugas yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau menggantikan Datu Buckland Bangik yang menamatkan perkhidmatan selepas 37 tahun berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Majlis berkenaan disaksikan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, yang dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas sumbangan dan kepimpinan Datu Buckland sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
Menurut Datuk Amar Mohamad Abu Bakar, pertukaran tugas tersebut mencerminkan kesinambungan kepimpinan pentadbiran negeri, selain menegaskan bahawa pengalaman luas serta pengetahuan institusi yang dimiliki Datu Buckland kekal menjadi aset berharga kepada Perkhidmatan Awam Sarawak.
Beliau turut menyentuh latar belakang kerjaya Datu Felicia yang bermula sebagai Pegawai Tadbir di Sibu pada 1993 sebelum berkhidmat di beberapa daerah termasuk Sarikei dan Sri Aman, seterusnya memegang jawatan strategik di peringkat bahagian dan jabatan negeri.
Katanya, kemajuan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam Sarawak berteraskan merit, prestasi dan semangat kerja berpasukan, di samping mencerminkan keterangkuman sistem yang memberi ruang adil kepada penyertaan wanita dalam jawatan pentadbiran kanan.
“Pengiktirafan sentiasa berpaksikan prestasi. Mereka yang menunjukkan kecemerlangan akan diberikan peluang tanpa mengira jantina,” katanya.
Sementara itu, Datu Buckland merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Sarawak serta warga perkhidmatan awam atas kepercayaan dan sokongan yang diterima sepanjang tempoh perkhidmatannya, sambil menekankan kepentingan pendekatan kerja berpasukan dalam mendepani cabaran.
“Kerja berpasukan memungkinkan organisasi bergerak lebih jauh dan berdaya tahan, walaupun individu mampu bergerak pantas secara bersendirian,” katanya.
Dalam ucapan sulungnya, Datu Felicia menyifatkan pelantikan tersebut sebagai amanah besar dan detik bermakna, khususnya kepada wanita di Sarawak, selain menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Beliau berkata, pengalaman lebih dua dekad berkhidmat di peringkat akar umbi termasuk sebagai Penolong Pegawai Daerah, Pegawai Daerah, Residen Bahagian dan Pengarah telah membentuk pendekatan kepimpinannya, yang akan dimanfaatkan dalam peranan baharu di peringkat negeri.
Menyedari skop tanggungjawab jawatan tersebut, beliau menegaskan keperluan bimbingan serta kerjasama berterusan daripada pegawai kanan, ketua jabatan dan rakan sekerja bagi memastikan pelaksanaan dasar serta program kerajaan negeri berjalan dengan berkesan.
Turut hadir Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, ketua-ketua jabatan serta tetamu jemputan.