
KUCHING: Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Ombudsman Sarawak selepas dilantik ke jawatan tersebut berkuat kuasa 2 Mac 2026.
Majlis angkat sumpah itu disempurnakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi 1, Dean Wayne Daly, selaras dengan peruntukan di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak2023 yang menetapkan setiap Ombudsman yang dilantik perlu mengangkat sumpah sebelum memulakan tugas secara rasmi.
Ketua Ombudsman Sarawak, Dato Sri Abdul Ghafur Shariff berkata pelantikan Datu Buckland turut melengkapkan keperluan minimum keanggotaan Ombudsman Sarawak seperti yang ditetapkan dalam ordinan tersebut.
“Hari ini merupakan satu detik penting kerana kita telah mencapai kuota minimum lima orang ahli Ombudsman, walaupun jumlah maksimum yang dibenarkan adalah tujuh orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas majlis angkat sumpah tersebut di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Ombudsman Sarawak akan terus melaksanakan peranannya dalam menerima aduan daripada orang awam serta memantau kementerian, jabatan kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Turut hadir dua Ahli Ombudsman, Albert Tang Yew Liong dan Toieyah Tioh.
-UKAS