
KUCHING: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, telah mengadakan lawatan tapak semula ke Pusat Komersial Hui Sing bagi meninjau keadaan sistem perparitan di kawasan berkenaan.
Lawatan tersebut turut disertai Pemanca Tan Kun Gee dan Ahli Majlis MBKS, Kaunselor Eric Tay, bersama pegawai-pegawai berkaitan.
Lawatan susulan itu diadakan berikutan pemeriksaan awal yang telah dilaksanakan pada bulan lalu, selain atas permintaan Pemanca Tan Kun Gee bagi melihat perkembangan serta isu berbangkit di kawasan terbabit.

Menurut MBKS, sistem perparitan di kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai struktur lama dan mudah tersumbat, khususnya apabila terdapat pengumpulan sampah di dalam longkang.
Selain itu, pihak berkuasa turut mendapati kewujudan beberapa struktur tidak sah di sekitar kawasan tersebut yang menutup sebahagian laluan longkang, sekali gus menyukarkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan.
Keadaan ini berpotensi menyebabkan takungan air serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembiakan nyamuk, sekali gus menimbulkan risiko terhadap kesihatan awam.
Sehubungan itu, MBKS telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang boleh diakses dan akan terus memantau keadaan perparitan bagi memastikan aliran air lebih lancar serta mengurangkan risiko air bertakung.
Dalam pada itu, Dato Wee turut merayu orang ramai serta pengusaha premis perniagaan di kawasan Hui Sing agar tidak membuang sampah ke dalam longkang dan mengelakkan pemasangan sebarang struktur yang menghalang akses perparitan.
Tegas beliau, kerjasama komuniti amat penting bagi menyokong usaha MBKS dalam menjaga kesihatan awam dan meningkatkan kualiti kehidupan bandar.
MBKS, katanya, kekal komited melaksanakan pemeriksaan serta kerja-kerja penyelenggaraan secara proaktif dan akan terus bekerjasama rapat dengan pemimpin masyarakat serta komuniti setempat demi memastikan bandar raya Kuching kekal bersih, selamat dan sihat.