
VIENNA: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng telah berkongsi pendekatan praktikal Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dalam penyampaian perkhidmatan bandar pada Forum Datuk Bandar sempena Sidang Kemuncak Bandar Dunia yang berlangsung dari 2 Julai hingga 4 Julai, berakhir hari ini.
Forum yang bertemakan “Bandar Mapan dan Selesa Diduduki: Penyelesaian Tempatan, Impak Global” itu menghimpunkan para datuk bandar dari serata dunia bagi membincangkan cabaran urban dan memperkukuh kerjasama rentas negara dalam tadbir urus bandar.
Forum tersebut anjuran bersama Pusat Bandar Didiami Rakyat Singapura (Singapore’s Centre for Liveable Cities, CLC) dan Pembangunan Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan hanya terbuka kepada peserta jemputan sahaja.
Mewakili Malaysia, beliau tampil dalam sesi bertajuk “Penyampaian Perkhidmatan Perbandaran yang Boleh Dipercayai dan Cekap”, di mana beliau menekankan komitmen MBKS dalam mempertingkat kecekapan perkhidmatan melalui pendekatan digital dan keterlibatan komuniti.
Antara inisiatif yang diketengahkan ialah penggunaan aplikasi iPeople, yang membolehkan penduduk melaporkan isu secara langsung serta menerima maklum balas melalui peranti mudah alih mereka.

Beliau turut berkongsi tentang sesi siaran langsung Facebook yang diadakan setiap minggu sebagai platform dialog dua hala antara pihak majlis dan komuniti.
Dalam usaha memupuk amalan kitar semula, MBKS juga memperkenalkan aplikasi iBuyBack yang menghubungkan isi rumah dengan pengitar semula berlesen, sekali gus menyumbang kepada pengurusan sisa yang lebih lestari.
“Fokus kami ialah untuk sentiasa hadir, mudah dihubungi dan cepat bertindak terhadap keperluan komuniti,” katanya.
“Apabila komunikasi dipermudah dan perkhidmatan boleh diharap, ia membina kepercayaan dan menyokong bandar yang lebih selesa didiami”, tambahnya.
Penyertaan beliau dalam forum berprestij ini mencerminkan komitmen MBKS terhadap pembelajaran bersama dan amalan tadbir urus bandar yang berkesan, selain memperkukuh peranan Kuching Selatan dalam agenda global ke arah bandar yang mapan dan berdaya huni.