
BINTANGOR: Keprihatinan terhadap kebajikan golongan uzur dan berdepan masalah kesihatan terus diberi perhatian apabila bantuan kemudahan perubatan disalurkan kepada penduduk yang terlantar sakit yang memerlukan di kawasan Parlimen Sarikei.
Jurucakap Pusat Khidmat Parlimen Sarikei berkata bantuan tersebut merupakan sumbangan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, sebagai usaha berterusan menyantuni rakyat yang memerlukan.
“Bantuan ini disalurkan sejurus permohonan diterima daripada ahli keluarga bagi memastikan pesakit mendapat kemudahan yang diperlukan tanpa kelewatan.
“Baru-baru ini, pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei diketuai oleh Wong Soon Mee telah menyerahkan katil pesakit boleh laras kepada Juing Gira dari Rumah Junis, Sungai Kelupu.
“Manakala sebuah kerusi roda disalurkan kepada Dicklas Adih dari Rumah Kam Gaing, Sungai Mador Ili,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei turut memberi penerangan dan tunjuk ajar berkaitan penggunaan katil pesakit boleh laras bagi memudahkan urusan penjagaan harian.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan keluarga terlibat, malah meningkatkan keselesaan pesakit serta memudahkan tugas ahli keluarga pesakit di rumah.
“Keluarga pesakit turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas bantuan yang diberikan oleh Dato’ Sri Huang Tiong Sii, selain menghargai keprihatinan yang ditunjukkan terhadap kebajikan masyarakat setempat.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan beliau untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara,” katanya.
Oleh Earl Anek