

DAYANG Noorazah semasa meninjau Projek Bina Baharu Dataran Budaya Maludam serta kerja-kerja berkaitan di Maludam, semalam. Foto: ADUN Lingga
MALUDAM: Projek pembinaan Dataran Budaya Maludam bernilai RM1 juta yang dibiayai menerusi Peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) kini sedang dilaksanakan bagi menyediakan ruang serba guna untuk kegunaan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, projek berkenaan akan membina sebuah dataran baharu yang lebih selesa dan sistematik untuk penganjuran aktiviti kebudayaan, kemasyarakatan serta pelbagai program komuniti.
Menurut beliau, pembinaan dataran itu dijangka memberi manfaat langsung kepada penduduk Maludam dengan menyediakan ruang yang sesuai untuk mengeratkan hubungan sosial, memelihara warisan budaya serta menyokong pelaksanaan program berimpak kepada masyarakat.
“Setiap projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga dirancang dengan teliti supaya memberi impak sebenar kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam usaha menambah baik prasarana asas di kawasan ini,,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa meninjau Projek Bina Baharu Dataran Budaya Maludam serta kerja-kerja berkaitan di Maludam, semalam, yang turut memberi peluang untuk memastikan perkembangan projek berjalan lancar mengikut jadual dan spesifikasi ditetapkan.
Beliau turut berharap agar semua projek yang telah dirancang dapat dipermudahkan proses pelaksanaannya sehingga siap sepenuhnya demi memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat terus terpelihara.
Dalam pada itu, Dayang Noorazah merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat yang telah menunjukkan kerjasama erat dalam merealisasikan agenda pembangunan di kawasan tersebut.
Tambahnya, pelaksanaan projek berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar melalui pembangunan berfasa dan berimpak tinggi.
Oleh Adi Safarman