
PETRA JAYA: Persatuan Disleksia Sarawak (DASwk) bakal menganjurkan dua acara utama tahun ini bagi meningkatkan kesedaran mengenai disleksia serta mengumpul dana untuk pembangunan persatuan.
Acara pertama, Karnival Makanan dan Kesenian Amal (Charity Food and Fun Fair), akan berlangsung di Jalan Laksamana pada 14 September 2025 dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Menurut Ketua Penggalangan Dana DASwk, Mok Venia, program ini menampilkan 54 gerai makanan serta persembahan tarian istimewa oleh kanak-kanak disleksia.
Acara kedua, Berjalan Bersama Anak (Walk with A Child), dijadualkan pada 19 Oktober 2025 di Majlis Bandaraya Kuching Selatan sempena Bulan Disleksia.
Acara jalan kaki amal sejauh 3 km dan 5 km itu menyasarkan sekurang-kurangnya 600 peserta.
“Warna ungu dipilih sebagai simbol Bulan Disleksia bagi menyerlahkan kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak disleksia,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.
Dalam sidang media yang sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah turut mengumumkan sokongan kewangan sebanyak RM10,000 melalui MRP bagi membantu persatuan melaksanakan program dan aktiviti mereka.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat memperkukuh usaha persatuan dalam mendidik dan membimbing kanak-kanak disleksia di Sarawak.
Oleh Amanda L