KUALA LUMPUR: Dasar Perpaduan Negara yang dilancarkan semalam merupakan inisiatif penting Malaysia dalam memastikan negara ini terus mengecapi keharmonian dan kestabilan sosiopolitik sekali gus memacu pembangunan dalam pelbagai sektor.
Felow Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir berkata, sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya, dasar itu dilihat dapat meningkatkan perpaduan dan kebersamaan antara rakyat tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
“Dasar Perpaduan Negara bertindak sebagai mekanisme penyatuan kaum yang inklusif di bawah ‘bumbung’ Persekutuan, kita perlu sentiasa mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat, perpaduan dimantapkan serta sifat hormat-menghormati dan menghargai antara satu sama lain menjadi pegangan setiap individu di negara ini,” katanya, kepada Bernama.
Melalui pemerhatiannya, Jeniri berkata, terdapat percubaan pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini yang cuba merosakkan keharmonian kaum dengan memainkan isu sensitif seperti agama dan budaya di platform media baharu.
Justeru beliau berkata, Dasar Perpaduan Negara adalah langkah tepat bagi menangani masalah seumpama itu dan dengan kewujudan dasar tersebut juga membolehkan setiap aspirasi negara direalisasikan dengan jaya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Dasar Perpaduan Negara yang bersifat inklusif, jelas dan kohesif demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya.
Berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian, dasar itu menetapkan strategi jangka panjang dalam usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.
Tiga objektif utama yang ditetapkan dalam Dasar Perpaduan Negara adalah mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia Prof Dr. Sivamurugan Pandian berpendapat pelancaran Dasar Perpaduan Negara pada masa ini bersesuaian dengan situasi negara yang sedang berperang dengan pandemik Covid-19.
Mengambil kira keadaan semasa, katanya, nilai perpaduan merupakan ejen yang diperlukan negara agar rakyat kekal bersatu meskipun setiap lapisan masyarakat sedang berhadapan dengan krisis global.
“Malahan ketika COVID-19, kita telah melihat nilai perpaduan terserlah dan bagaimana masyarakat menunjukkan sifat kebergantungan, contohnya di antara frontliners (barisan hadapan) dan masyarakat, tanpa mengira latar belakang, termasuklah sukarelawan, doktor, dermawan… kesemuanya telah menyumbang bersama-sama (dalam melawan Covid-19), sehingga ke hari ini.
“Kita perlu melihat kepada pencapaian dasar ini secara berterusan, bukannya bermusim supaya langkah-langkah atau pendekatan yang bersesuaian boleh diambil, seterusnya merealisasikan perpaduan yang hebat menjelang 2030,” katanya.
Melahirkan hasrat agar Dasar Perpaduan Negara mencapai objektifnya, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye pula berharap konsep ‘kepimpinan melalui teladan’ menjadi panduan pemimpin masyarakat dan politik dalam merealisasikan dasar itu.
Menurutnya, rakyat akan lebih bersemangat dan akan turut serta menjayakan apa jua misi negara sekiranya pemimpin dapat menonjolkan sisi matang dalam memperjuangkan semangat kekitaan.
“Dari segi implementasi, saya harap dasar ini dapat dilaksanakan secara integriti agar ia dapat memberi impak positif kepada semua rakyat negara ini yang secara tidak langsung akan sama-sama bekerjasama mewujudkan perpaduan,” katanya.
Menurut Lee, perpaduan perlu bermula dari dalam diri sendiri dan setiap rakyat perlu ada komitmen untuk mengamalkan nilai-nilai murni bagi mewujudkan persekitaran Malaysia yang harmoni.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa kerajaan memperkenalkan akta khusus untuk menangani diskriminasi antara kaum dan agama termasuk menggubal Akta Kebencian Agama dan Kaum dan Akta Antidiskriminasi.
“Ini persoalan sama saya ajukan di Parlimen semasa pemerintahan Pakatan Harapan dan sekali lagi ditanya pada Ogos tahun lepas, iaitu sama ada (kerajaan) Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menggubal undang-undang ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr. Muhammad Faiz Na’aman dalam kenyataannya berkata pelancaran dasar itu tepat pada masanya memandangkan elemen perkauman, kenegerian dan agama menjadi barah dalam segelintir masyarakat kini.
Oleh itu, beliau menyeru semua lapisan masyarakat serta parti politik untuk memberi sokongan terhadap usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.– Bernama