
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membentangkan Dasar Pemilikan Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November ini bagi memperkukuh tadbir urus serta melindungi aset negeri di bawah rangka kerja pemilikan yang lebih kukuh dan telus.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dasar itu akan menyatukan serta memperkemas struktur pengurusan Syarikat Milik Kerajaan (SOEs) di Sarawak agar beroperasi secara berdisiplin, berorientasikan prestasi dan berpaksikan tanggungjawab sosial.
“Dasar ini akan memastikan syarikat milik kerajaan negeri beroperasi dengan disiplin komersial, tanggungjawab sosial dan kelestarian jangka panjang selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Ekonomi Sarawak 2025 di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pembentangan dasar tersebut merupakan sebahagian daripada usaha reformasi institusi dan tadbir urus bagi memastikan setiap keputusan pelaburan dan dasar kerajaan dibuat secara telus serta berakauntabiliti.
“SOEs berperanan sebagai lengan strategik kerajaan negeri dalam memacu perindustrian, menjamin keselamatan tenaga serta mewujudkan peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Antara syarikat utama yang memainkan peranan penting termasuk Petros, Sarawak Energy, Sarawak Metro, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Yayasan Sarawak, masing-masing menerajui bidang strategik seperti tenaga, pengangkutan bandar, industri hiliran, pelancongan dan pembangunan modal insan.
Oleh Masrin Affirah