
KUCHING: Sarawak komited dalam memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama dengan memperhalusi Dasar Pelaburan Sarawak yang dijangka siap tahun ini sebelum dikemukakan kepada Kabinet negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang tengah Ali Hasan berkata dasar baharu itu akan menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan dan mewujudkan asas bagi ekosistem inovasi yang kukuh.
Selain itu, katanya, ia juga akan membentuk perkongsian yang teguh merentasu pihak berkepentingan, menggalakkan sektor keutamaan dan pemberian insentif.
”Kita mahu setiap pelaburan yang dilaksanakan di Sarawak menggunakan teknologi tinggi dan selaras dengan agenda kelestarian alam sekitar.
”Dasar pelaburan ini telah tersedia sejak tahun lepas, cuma sekarang kita hendak mempertingkat dan mengenal pasti sektor-sektor yang akan kita beri keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berucap dan menyempurnakan Majlis Amanat MINTRED 2025 di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan (MINTRED) itu memberitahu kerajaan Sarawak kini sedang memperkemas Dasar Keusahawanan bagi memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, Dasar Keusahawanan Sarawak itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk meningkatkan daya saing, inovasi, akses pembiayaan serta pemudahcaraan perniagaan bagi PKS.
”PKS merupakan tulang belakang ekonomi dan kita mahu mereka mengadaptasi teknologi digital serta menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi mereka.
”Ini penting untuk PKS terutamanya dalam pemasaran produk dan perkhidmatan mereka, bukan sahaja di peringkat tempatan dan negeri, malah untuk pasaran yang lebih meluas,” tambahnya.
Ujarnya lagi, dasar itu juga bertujuan meningkatkan penglibatan PKS dalam rantaian bekalan tempatan dan antarabangsa, menjadikan Sarawak sebagai hab perniagaan yang lebih berdaya saing.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri MINTRED Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Setiausaha Tetap MINTRED Sarawak Dzulkornain Masron dan CEO InvestSarawak Timothy Ong.
Oleh Rynna Sha’erra