
KUCHING: Isu kesihatan mental memerlukan dasar baharu yang lebih komprehensif bagi memastikan ia dapat ditangani secara berkesan.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, kesihatan mental bukan sahaja berkaitan dengan aspek perubatan, malah turut mempunyai kaitan rapat dengan isu sosial dalam masyarakat.
“Kesihatan mental bukan lagi sekadar isu perubatan. Sama seperti pendidikan yang menjadi pemangkin transformasi ekonomi, kesihatan mental juga perlu dilihat sebagai isu menyeluruh yang menuntut pendekatan dasar baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Latihan Kesihatan Mental dan Kemahiran Menyelamat Nyawa untuk Lions dan Leos di Ibu Pejabat SUPP, Sa’ati Hall, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Sim, isu kesihatan mental perlu ditangani dengan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai agensi serta sokongan masyarakat.

“Ini bermakna semua pihak mesti bekerjasama merangka polisi baharu yang bukan sahaja menyentuh aspek kesihatan, tetapi juga pendidikan, sosial, ekonomi dan penguatkuasaan. Kita perlu fikir bentuk sokongan, sumber serta intervensi yang sesuai untuk membantu masyarakat,” ujarnya.
Katanya lagi, cabaran baharu seperti ketagihan Internet, buli siber dan pelbagai bentuk kecanduan moden menuntut penggubalan dasar lebih inklusif melalui kerjasama pelbagai pihak.
“Polisi baharu ini penting supaya intervensi yang dibuat tidak bersifat satu dimensi. Kesihatan mental perlu ditangani melalui pendekatan rentas sektor melibatkan kesihatan, pendidikan, kebajikan, undang-undang dan komuniti,” jelasnya.
Oleh Shikin Mahmud