
MOSCOW: Darurat diisytiharkan di bandar Petropavlovsk-Kamchatskiy, Rusia selepas gempa bumi kuat berlaku, dengan semua perkhidmatan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya, kata Datuk Bandar, Yevgeny Belyaev hari ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Darurat sedang berkuat kuasa di Petropavlovsk-Kamchatskiy akibat gempa bumi yang berlaku hari ini,” kata Belyaev di Telegram, sambil menjelaskan yang semua perkhidmatan kini dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya.
Di Vladivostok, perkhidmatan kecemasan wilayah melaporkan bahawa ombak tsunami yang melanda bandar Severo-Kurilsk di Wilayah Sakhalin, Rusia, melebihi ketinggian tiga meter (9.8 kaki), dengan ombak paling kuat dianggarkan mencapai kira-kira lima meter, menurut kenyataan kepada RIA Novosti hari ini.
Terdahulu pada hari yang sama, gempa bumi dengan magnitud 8.8 melanda luar pesisir Semenanjung Kamchatka, menjadikannya yang terkuat di rantau itu sejak 1952.
Kerajaan Wilayah Sakhalin mengesahkan keadaan darurat turut diisytiharkan di Daerah Severo-Kurilsk berikutan gempa bumi dan tsunami itu.
“Ombak tsunami di Severo-Kurilsk mencapai ketinggian melebihi tiga meter dan ombak paling kuat secara visual dianggarkan sehingga lima meter,” menurut perkhidmatan kecemasan.
Memandangkan tiada stesen pemantauan automatik di Severo-Kurilsk, ketinggian ombak dinilai secara visual, kata mereka.
Sementara itu, penilaian kerosakan menunjukkan tiada kematian atau kecederaan serius di Wilayah Kamchatka, kata Gabenor Wilayah Vladimir Solodov.
“Menurut hasil pemeriksaan, tiada kecederaan serius atau kematian dilaporkan.
“Satu-satunya kerosakan struktur ialah runtuhan dinding di Tadika No. 15 di Petropavlovsk-Kamchatskiy. Bangunan itu sedang dalam proses pengubahsuaian, tiada kanak-kanak berada di sana dan kakitangan dipindahkan dengan selamat,” kata Solodov kepada penyiar Rossiya 24.
Gegaran dari gempa bumi itu dirasai di 47 penempatan di seluruh Kamchatka dan Sakhalin, menurut perkhidmatan kecemasan wilayah.
Gempa bumi di Kamchatka, Rusia, adalah sekuat kejadian yang melanda loji kuasa nuklear (NPP) Fukushima di Jepun pada 2011, kata Petr Shebalin, Ketua Institut Teori Ramalan Gempa Bumi dan Geofizik Matematik Akademi Sains Rusia kepada RIA Novosti di Moscow hari ini.
“Ini adalah gempa bumi yang sangat kuat. Tidak pernah berlaku gempa bumi sekuat ini di Kamchatka sejak 1952 dan secara umumnya kali terakhir gempa bumi sekuat ini berlaku ialah di Jepun pada 2011, ketika itu magnitudnya 9, sekarang sedikit kurang – 8.8,” kata Shebalin. – Bernama-Sputnik/RIA Novosti