Daro, Matu dan Pulau Bruit mula dilanda jerebu

Facebook
WhatsApp
TINJAUAN Utusan Sarawak mendapati jarak penglihatan sukar dilihat pada jarak sederhana jauh terutama pemandangan dari atas Jambatan Batang Lassa ke arah laut dan sungai.

DARO: Kawasan Matu, Daro dan Pulau Bruit mula dilanda jerebu hari ini.

Tinjauan Utusan Sarawak mendapati jarak penglihatan sukar dilihat pada jarak sederhana jauh terutama pemandangan dari atas Jambatan Batang Lassa ke arah laut dan sungai.

Bagaimanapun, tiada rekod bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kerana Daro, Pulau Bruit dan Matu tidak mempunyai stesen pemantauan IPU sendiri yang disenaraikan dalam Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Yang paling dekat ialah stesen Mukah.

Pagi ini Mukah mencatat IPU 100 iaitu tahap sederhana, ILP Miri (93), Limbang (76), Lawas (74), Kapit (70) dan Bario (64).

Bagaimanapun, Tebedu merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 206 setakat 8.00 pagi tadi.

Sementara itu, 12 kawasan lain mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu IPD Serian (194), Kuching (172), Samarahan (170), Lubok Antu (168), Sri Aman (157), Bintulu (157), Samalaju (152), Sarikei (151), Sibu (151), Miri (133) dan Lundu (112).