PEMBENTANGAN Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 (Akta A1642) pada bulan Januari telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berkuatkuasa pada bermula 11 Februari lepas. Akta tersebut meliputi pindaan Perkara 1(2), Perkara 160(2) dan Perkara 161a (6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan. Ia dikenali sebagai Akta A1642 dan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia (MA63).
Lanjutan daripada pindaan Perlembagaan ini, Dewan Undangan Negeri Sarawak bergerak ke depan sesuai dengan pindaan tersebut dengan melakukan perubahan terma Ketua Menteri kepada ‘Premier’ selaras dengan pindaan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan tersebut.
Perubahan terma Ketua Menteri tersebut untuk membuktikan Sarawak adalah unik dalam konteks sejarah pembentukan Malaysia bersama-sama Sabah, walaupun Sabah belum lagi meminda Perlembagaan Negeri dan menukarkan terma Ketua Menteri. Langkah ini mewujudkan semangat Sarawak dan pengiktirafan Sarawak sebagai wilayah dan bukanlah sebuah negeri seperti negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dari segi status dan sejarah.
Persidangan DUN Sarawak
Sudah pasti Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada kali ini sangat menarik perhatian masyarakat, bukan sahaja di Sarawak, akan tetapi di seluruh negara. Hal ini kerana Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 dibentangkan akan melibatkan perubahan nama jawatan.
Dalam perubahan yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, penggunaan istilah Ketua Menteri akan digantikan dengan istilah ‘Premier’’ manakala istilah Menteri Muda ditukar kepada Timbalan Menteri. Pertukaran istilah Menteri Muda mempunyai rasional yang dapat diterima, apabila Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengakui bahawa istilah ‘Menteri Muda’ membawa kepada kekeliruan kerana dikatakan pernah berlaku peristiwa terdapat ‘menteri muda’ yang pergi ke luar negara, dilayan sebagai pembantu kepada Menteri akibat istilah yang mengelirukan tersebut.
Premier menggantikan Ketua Menteri
Istilah Ketua Menteri pula akan ditukar kepada kepada istilah Premier. Penggunaan Premier ini digantikan sebagai usaha untuk tidak menyamakan kedudukan Sarawak dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Hal ini kerana ketika perjanjian Malaysia ditandatangani hanya Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura yang menandatangi perjanjian tersebut dengan United Kingdom Great Britain dan Ireland Utara. Bermakna negeri seperti Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Melaka, misalnya bukanlah penandatangan, sebaliknya diwakili oleh Persekutuan Tanah Melayu bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Alasan ini digunakan untuk menjustifikasikan perubahan istilah Ketua Menteri kepada Premier ini, selepas kira-kira 59 tahun selepas perjanjian Malaysia ditandatangani.
Istilah Premier
Penggunaan istilah ‘Premier’ perlu dilihat dalam konteks amalan di negara komanwel. Perkataan ‘Premier’ dalam konsep Westminster ialah ketua sesebuah kerajaan. Misalnya, ketua kerajaan negeri di Australia dikenali sebagai ‘premier’. Begitu juga ketua kerajaan wilayah di Canada juga menggunakan istilah ‘premier’. Sesuai dengan Malaysia yang bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tentulah istilah ini perlu diterjemahkan secara tepat agar tidak mengelirukan.
Dalam media sosial misalnya, ada menganggap penggunaan istilah Premier ini seolah-olah sekiranya apabila diterjemahkan dalam bahasa Perdana Menteri. Sudah tentu ia mengelirukan jika diterjemahkan sedemikian. Maka perlunya dilihat dalam konteks negara Komanwel dan sistem Westminster yang diamalkan mengenai penggunan konsep dan istilah Prime Minister, Premier, Chief Minister dan First Minister.
Sekiranya gagal diterjemahkan dengan tepat, maka istilah ini boleh mengelirukan, khususnya apabila diterjemahkan dalam bahasa Kebangsaan, kecualilah dibezakan dengan jelas, padat dan jitu.
Konteks budaya
Walaupun dalam Perlembagaan penggunaan istilah Chief Minister itu jelas, namun apabila diterjemahkan, diberikan pengertian yang khusus. Misalnya penggunaan istilah Menteri Besar atau Ketua Menteri iaitu nama khas, tidak ada terjemahan bahasa Inggeris yang tepat. Bermakna, dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Chief Minister. Namun, dalam konteks budaya, istilah tersebut disesesuaikan dengan budaya Malaysia, iaitu dikenali sebagai Ketua Menteri bagi negeri tanpa Raja, manakala dikenali sebagai Menteri Besar apabila negeri yang mempunyai Raja.
Sudah pasti penterjemahan Premier kepada istilah Perdana Menteri dilihat kurang tepat. Yang pertama disebabkan di Malaysia, istilah Perdana Menteri merujuk kepada Ketua Kerajaan Persekutuan. Jika digunakan istilah tersebut, menjadi kekok khususnya, terdapat dua jawatan Perdana Menteri. Seolah-olah wujudnya negara dalam negara. Sudah pasti ia bukan niat pihak Kerajaan Negeri untuk ke arah makna tersebut.
Yang kedua, apabila melibatkan protokol negara misalnya, Majlis Raja-Raja Melayu bersidang dihadiri Ketua Menteri dan Menteri Besar. Jika istilah penggunaan istilah yang kurang sesuai digunakan, ia mendatangkan tafsiran yang tidak tepat dalam protokol negara. Dalam budaya penggunaan istilah yang tepat mencerminkan adap dan budaya tinggi. Bermakna perlu ada istilah padanan bagi menggambarkan dengan tepat agar tidak mengelirukan, malah boleh menjejaskan hubungan baik Kerajaan Negeri Sarawak dengan pihak Persekutuan jika istilah digunakan tidak berpadanan dengan istilah sebenar.
Hukum DM
Dalam tatabahasa terdapat hukum DM, iaitu diterang atau menerang untuk membentuk frasa nama yang yang lengkap dan sempurna. Dengan kata lain, gaya bahasa bahasa Melayu baku memberikan perhatian kepada aspek subjek atau perkara diikuti oleh penerangan perkara sedemikian. Sudah pasti hukum tatabahasa ini berlainan dengan gaya bahasa Inggeris yang mengutamakan predikat, kemudian barulah disusuli oleh subjek. Sekiranya pihak Dewan Bahasa dan Pustaka berhasrat menterjemahkan Premier kepada padanan tepat maka terdapat beberapa istilah yang boleh dipadankan dengan tepat. Yang pertama ialah penggunaan istilah Menteri Perdana yang wajar dipertimbangkan sebagai padanan bahasa Melayu kebangsaan bagi terjemahan Premier. Ia memenuhi hukuman DM dalam tatabahasa Melayu rasmi. Apabila istilah Menteri Perdana digunakan untuk maksud Premier, atau ketua kerajaan, istilah ini dapat dibezakan dengan penggunaan istilah Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan Persekutuan.
Yang kedua, istilah Menteri Utama juga berpadanan dengan konteks maksud premier yang dikaitkan fungsi Menteri dan ketinggian jawatan dan kedudukan yang dipegang. Ia selari dengan istilah First Minister yang digunakan dalam sistem Westminster di negara komanwell dan tidak mengelirukan.
Apa-ap pun perubahan dalam bahasa kebangsaan, istilah Premier perlu ada padanan yang tepat sesuai dengan konteks budaya dan Perlembagaan Persekutuan. Padanan yang lebih tepat apabila diterjemahkan tersebut sangat penting dalam etika protokol negara dan ini bukanlah sekadar diumpamakan menamakan isu nama liga utama atau liga perdana Inggeris kerana ia melibatkan budaya tinggi, pensejarahan dan perlembagaan.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)