
KUCHING: Sebuah filem Korea bertajuk ‘Distinct: Becoming Sarawak’ dijangka menjadi platform baharu memperkenalkan Sarawak kepada penonton antarabangsa, sekali gus mempromosikan keunikan negeri ini di pentas global.
Filem bergenre komedi romantik itu merupakan kerjasama antarabangsa antara syarikat produksi Korea, Monster Factory dan syarikat produksi Malaysia, The Black Label, yang akan menjalankan penggambaran sepenuhnya di Malaysia khususnya di Sarawak.
Penerbit filem, Lee Sang Chan berkata, karya tersebut bukan sekadar filem Korea yang menjalankan penggambaran di luar negara, sebaliknya sebuah cerita yang bermula dari latar belakang unik Sarawak.
“Ini merupakan filem Korea yang dihasilkan oleh pembikin filem dan pelakon Korea, namun kisahnya bermula di sebuah tempat yang sangat istimewa iaitu Sarawak.
“Cara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya hidup bersama secara harmoni di Sarawak merupakan sesuatu yang sangat unik di dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas lanjut, filem tersebut mengisahkan perjalanan Joon, seorang pelajar pertukaran dari Korea yang tiba di Sarawak dan berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Dalam tempoh itu, Joon bertemu dengan Laila, seorang pelajar universiti Melayu beragama Islam serta Mei, pelajar seni berketurunan Cina Malaysia, yang bersama-sama melalui perjalanan persahabatan, cinta dan pencarian identiti diri.
Tambah Lee, genre komedi romantik dipilih bagi menonjolkan nilai kemanusiaan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang wujud di Malaysia khususnya di Sarawak.
Beberapa watak sampingan turut mengiringi perjalanan Joon termasuk Aru, seorang Dayak yang menjadi rakan rapatnya serta memperkenalkan budaya dan kehidupan seharian di Sarawak.
Selain itu, watak Min-Ho yang merupakan abang Joon dan menjalankan perniagaan di Malaysia turut memainkan peranan memberi nasihat serta panduan kepada adiknya sepanjang berada di negeri ini.
Filem tersebut akan diarahkan oleh pengarah Korea, Shin Ji-hwan yang terkenal menerusi penerbitan program televisyen dan drama web serta pernah menerima pengiktirafan di beberapa festival filem antarabangsa.
Shin bersama penulis skrip Park Ho-young telah pun mengadakan lawatan ke Sarawak bagi menjalankan penyelidikan lokasi serta pemerhatian budaya sebagai persediaan awal produksi.
Menurut Lee, watak utama filem tersebut dijangka dibintangi pelakon Korea dan pihak produksi kini sedang dalam perbincangan untuk menampilkan seorang pelakon idola Korea yang popular sebagai teraju utama.
Projek berkenaan kini berada di peringkat pra-produksi dengan kerja-kerja tinjauan lokasi, pemilihan pelakon dan persediaan lain sedang dijalankan.
Sesi uji bakat terbuka juga akan diadakan di seluruh Malaysia dengan pusingan pertama dijadualkan berlangsung pada April ini.
Penggambaran utama dijangka bermula pada Jun depan di beberapa lokasi menarik di Sarawak dengan kerjasama kru produksi tempatan.
Selain mempromosikan keunikan Sarawak, projek tersebut juga dijangka menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Setelah siap, filem berkenaan dirancang untuk diedarkan ke pasaran global serta dihantar penyertaannya ke festival filem antarabangsa.
Lee berkata, penyertaan ke festival filem bukan semata-mata untuk memenangi anugerah, sebaliknya bagi memperkenalkan Sarawak kepada dunia.
“Jika orang melihat tajuk filem ini dan tertanya-tanya apakah itu ‘Sarawak’ lalu mencarinya di internet, itu sudah cukup bermakna bagi Sarawak.
“Mendorong orang untuk sekurang-kurangnya mencari perkataan ‘Sarawak’ sekali sahaja sudah menjadi peranan dan matlamat yang ingin saya capai melalui projek ini,” ujarnya.