
KUALA LUMPUR: Alunan muzik tidak terlupakan daripada filem animasi Disney, The Lion King, bakal kembali bergema di ibu negara menerusi The Lion King Live in Concert, dipersembahkan oleh sebuah orkestra 72 pemuzik di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 13 Jun depan.
Konsert akan menyaksikan pemuzik daripada National Symphony Orchestra (NSO) Malaysia itu mempersembahkan skor ikonik berkenaan secara serentak dengan tayangan filem, menjanjikan satu pengalaman unik dan mendalam buat penonton.
“Biasanya apabila anda menonton filem, muzik hanya didengar sebagai latar. Tetapi kali ini, anda akan melihat pemuzik beraksi dan mendengar instrumen dimainkan secara langsung di pentas. Itulah yang menjadikannya istimewa,” kata konduktor residen NSO Malaysia Eric Lee pada sidang media berkenaan konsert itu, di sini hari ini.
Bagi memastikan penyegerakan tepat antara alunan muzik dan babak filem, Lee berkata Disney akan menghantar pengarah teknikalnya untuk membimbing pemuzik NSO Malaysia.

“Beliau akan tiba pada Jun ini untuk berlatih bersama-sama kami. Mereka juga akan menghantar skor asal dan kami akan berlatih sebaik sahaja menerima skor itu dari Amerika Syarikat,” katanya, menambah orkestra juga perlu mematuhi garis panduan yang ketat bagi memastikan persembahan mematuhi piawaian global Disney.
NSO Malaysia yang dikelolakan oleh Istana Budaya, diiktiraf dan diperakui oleh Disney Concert atas ketepatan teknikal, kehalusan muzik serta kemampuan memenuhi piawaian antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah Urusan Milestone Production Datuk Grace Lee berkata pihaknya mengambil masa hampir dua tahun berunding dengan Disney untuk memperoleh hak mempersembahkan konsert tersebut di Malaysia.
Katanya konsert itu juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan lebih banyak produksi bertaraf dunia kepada masyarakat di negara ini selain menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kami mahu membawakan sesuatu yang berbeza dan bertaraf dunia ke Malaysia, khususnya bagi menarik pelancong yang datang secara keluarga, bukan hanya domestik tetapi juga dari rantau ini.
“Konsert ini juga istimewa kerana ia meraikan ulang tahun ke-30 The Lion King, membolehkan penonton berbilang generasi termasuk kanak-kanak, malah datuk dan nenek, datang menyaksikan persembahan ini,” katanya, menambah lebih 50 peratus tiket telah dijual sejak juala dibuka dua minggu lalu.
Tiket berharga RM168 hingga RM638 dijual menerusi http://www.milestone-entertainment.com. – Bernama