
PONTIAN: Pelepah atau daun nanas yang lazimnya dianggap sisa pertanian tidak bernilai dan dibuang begitu sahaja selepas musim tuai, kini berubah menjadi “emas hijau” yang mampu menjana pendapatan lumayan di tangan seorang usahawan kreatif.
Munah Kadir, 55, usahawan hiliran dari Kampung Rimba Terjun di sini, berjaya menterjemah sisa tersebut menjadi benang serat nanas berkualiti tinggi, yang mempunyai nilai pasaran premium mencecah ribuan ringgit.

Anak jati Pontian itu, konsisten mengusahakan perusahaan benang serat nanas sejak 2007, sebelum mengembangkannya menjadi pelbagai produk hiliran menggunakan benang serat nanas seperti rantai kunci bersulam, sulaman corak pada beg tangan dan kain tenun.
“Nilai benang serat nanas ini amat tinggi di pasaran, dengan harganya boleh mencecah sehingga RM900 untuk setiap kilogram (kg), dengan jualan banyak dibantu oleh LPNM (Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia) selain institusi pendidikan yang memerlukan serat nanas bagi tujuan pembelajaran.

“Bagaimanapun, untuk menghasilkan satu kilogram benang serat itu bukannya kerja mudah dan sekejap, kita memerlukan 100kg daun nanas atau bersamaan dengan 4,000 helai daun,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Menceritakan proses penghasilannya, Munah menjelaskan ia bermula dengan pemilihan daun daripada pokok nanas matang yang buahnya sedia dipetik, bagi memastikan serat yang diperoleh lebih kuat dan tidak mudah putus.

“Kebiasannya kita memilih daun daripada pokok nanas varieti MD2, Josapine dan Gandul, dengan daun dipetik daripada aras kedua dari tangkai. Dari satu pokok itu kita boleh dapat dalam 14 hingga 17 helai daun dan dalam sehari saya kutip purata 800 helai sahaja,” katanya.
Munah yang mendapatkan bekalan bahan mentah daripada penanam nanas di sekitar Air Baloi dan Puteri Menangis, menyifatkan rutin harian di ladang itu bukan satu tugasan mudah kerana prosesnya menuntut ketelitian tinggi.

“Banyak cabarannya daripada proses memetik daun durinya boleh melukakan. Saya juga berhadapan dengan risiko haiwan berbisa, yang sering berada di kawasan tanaman nanas,” katanya.
Selepas daun dikumpul, Munah menggunakan alatan kayu khas untuk mengekstrak serat ataupun benang daripada daun nanas berkenaan dan proses itu perlu dilakukan dalam tempoh tidak melebihi lima hari selepas daun dipotong bagi menjamin kualitinya.
Menyentuh mengenai proses peringkat akhir, Munah berkata benang yang diekstrak perlu dijemur sehingga benar-benar kering, sebelum disimpan atau diwarnakan mengikut tempahan.
“Sehelai daun biasanya kita berupaya mengekstrak benang sepanjang kurang satu meter sahaja, jadi gam serta teknik khas perlu diguna untuk mencantumkannya sehingga mendapat benang dengan panjang tertentu untuk dijual,” katanya yang pernah menghasilkan benang serat nanas sehingga sepanjang 20 meter.
Beliau berkata antara keistimewaan benang serat nanas ialah kekuatannya yang mampu bertahan sehingga 30 tahun tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet, selagi ia disimpan dengan cara yang betul dan tidak terdedah kepada cahaya matahari.

“Sebarang produk yang mempunyai jahitan atau sulaman daripada benang serat nanas tidak boleh dibasuh seperti kain biasa, ia perlu dicuci secara ‘dry clean’, sama seperti songket kerana sifatnya yang halus dan dihasilkan sepenuhnya secara manual,” katanya.
Walaupun permintaan semakin meningkat, penerima anugerah Ikon Asnaf Majlis Agama Islam Johor 2022 itu, tidak bercadang untuk menggunakan teknologi atau mesin automatik bagi menjaga ketulenan dan kualiti produk.
Menyentuh sokongan yang diterimanya sebagai usahawan hiliran di Johor, Munah berkata agensi kerajaan seperti LPNM banyak membuka peluang kepadanya untuk mengikuti kursus keusahawanan dan pembangunan produk, selain membantu promosi serta membuka ruang pasaran.
“Ini memberi saya semangat untuk terus memartabatkan benang serat nanas sebagai antara ikon daerah Pontian yang terkenal sebagai ‘bandar nanas’ negara, sekaligus mengangkatnya sebagai antara warisan bernilai tinggi negara satu hari nanti,” katanya.- Bernama