Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Dari Seloka Hari Raya ke ribuan karya, legasi Ahmad Nawab terus hidup
  • HIBURAN

Dari Seloka Hari Raya ke ribuan karya, legasi Ahmad Nawab terus hidup

Utusan Sarawak 5 hours ago
IRAMA Aidilfitri tidak lengkap tanpa sentuhan maestro Ahmad Nawab yang mencipta karya malar segar. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: “Indahnya sungguh di Hari Raya, ramainya orang bersuka ria…” -bait-bait lirik malar segar lagu Seloka Hari Raya bergema saban Aidilfitri, seolah-olah kemeriahan Syawal tidak lengkap tanpa alunannya.

Didendangkan oleh penyanyi legenda Uji Rashid dan Allahyarham Datuk Hail Amir, lagu berunsur tradisional Melayu dengan sentuhan pop klasik era 1970-an itu kekal relevan meskipun telah berusia lebih lima dekad.

Karya ciptaan Seniman Negara Ketujuh, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab atau nama asalnya, Ahmad Khan Nawab Khan ini bukan sahaja menggambarkan kemeriahan Aidilfitri, malah menjadi simbol keindahan muzik tempatan yang merentas generasi.

IRAMA Aidilfitri tidak lengkap tanpa sentuhan maestro Ahmad Nawab yang mencipta karya malar segar. Foto Bernama

Hakikatnya, Seloka Hari Raya hanyalah sebahagian kecil daripada legasi besar maestro muzik tanah air itu yang telah menghasilkan lebih 2,000 lagu dan menerbitkan lebih 200 album melibatkan artis tempatan serta Indonesia.

Namun di sebalik kehebatan tersebut, sumbangan besar Ahmad Nawab dalam industri muzik tanah air, khususnya kepada generasi muda, masih kurang diketengahkan berbanding tokoh-tokoh seni lain, sekali gus mendorong keluarganya untuk terus mengabadikan legasi tokoh guru muzik negara ini.

Di sebuah bilik khas di kediaman Allahyarham di Taman Melewar, Gombak, Selangor, tersimpan pelbagai koleksi berharga yang menjadi saksi perjalanan panjang tokoh muzik negara itu selama lebih tujuh dekad berkarya.

IRAMA Aidilfitri tidak lengkap tanpa sentuhan maestro Ahmad Nawab yang mencipta karya malar segar. Foto Bernama

Beberapa saksofon pelbagai jenis seperti bariton, tenor dan soprano selain klarinet, seruling, disusun rapi dengan sebuah piano berserta rak dipenuhi skor muzik tulisan tangan, keratan akhbar lama, gambar kenangan, piring hitam dan pita rakaman.

“Semua ini arwah simpan sendiri sejak dahulu lagi. Keratan akhbar, skor muzik tulisan tangan, kaset dan rakaman asal memang ada dalam simpanan. Arwah memang jenis yang sangat teliti dan suka menyimpan semua bahan berkaitan perjalanan kerjayanya,” kata anak keempat Allahyarham, Nasir Khan kepada Bernama baru-baru ini.

Koleksi paling bernilai dalam simpanan keluarga seni ini termasuk saksofon bariton yang pernah digunakan dalam filem Masam-Masam Manis dan Ragam P. Ramlee, menjadi antara instrumen ikonik yang dikaitkan dengan perjalanan kerjaya Allahyarham dalam dunia muzik filem tempatan.

“Alat muzik itu sebenarnya dipinjam Tan Sri P. Ramlee ketika penggambaran filem berkenaan. Dalam filem itu, beliau hanya menggayakan saksofon manakala tiupan sebenar dimainkan sendiri oleh arwah bapa saya,” katanya.

Nasir, 63, yang pernah bekerja rapat dengan bapanya, berkata Allahyarham dikenali sebagai seorang yang sangat teliti dan mementingkan kesempurnaan dalam setiap karya dihasilkan, khususnya ketika menggubah serta menyusun muzik untuk rakaman lagu dan filem.

Katanya, biarpun umur mencecah lebih 90 tahun, minat bapanya terhadap muzik tidak pernah luntur dan masih berlatih saksofon hampir setiap hari kerana baginya, kemahiran muzik perlu sentiasa diasah dan instrumen dijaga dengan baik. 

“Di bilik ini, ada juga skor muzik tulisan tangan. Skor ini menunjukkan bagaimana arwah menyusun setiap bahagian muzik dengan sangat teliti sebelum sesuatu lagu dirakam. Ia menunjukkan disiplin kerja arwah yang sangat mementingkan ketepatan dan kesempurnaan dalam setiap komposisi,” katanya.

Ahmad Nawab meninggal dunia pada November 2024, dan sepanjang kerjayanya, Allahyarham menyesuaikan diri melalui pelbagai perubahan teknologi rakaman muzik, daripada era rakaman dua trek kepada lapan, 16 dan 24 trek, sekali gus mencerminkan keupayaannya menyesuaikan diri dengan perkembangan industri.

Kini kesemua khazanah berharga itu di bawah jagaan Nasir memandangkan beliau mempunyai latar belakang sebagai pemuzik dan jurutera bunyi selain memahami nilai sejarah di sebalik setiap instrumen serta bahan simpanan tersebut.

“Arwah sendiri pernah menyuarakan hasrat supaya khazanah muzik yang dikumpulkan ini dapat dipelihara dengan baik. Harapan saya, suatu hari nanti koleksi ini dapat ditempatkan di sebuah galeri khas supaya orang ramai terutamanya generasi muda dapat melihat sendiri legasi seni ini,” katanya.

– Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Dulu dibuli, kini Yazmin Aziz cipta nama di pentas antarabangsa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.