
KUCHING: Kundai Dugi, anak jati Sebuyau, mencatatkan kecemerlangan dalam kariernya bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama lebih dua dekad, sekali gus mengharumkan nama bangsa Iban dalam perkhidmatan ketenteraan negara.
Sepanjang 24 tahun berkhidmat, Kundai, 54, yang menyertai TLDM pada Januari 1993, berjaya menamatkan latihan asas di Berek Woodlands, Singapura sebelum meneruskan pengkhususan dalam bidang Juruteknik Marin Srimala di Fakulti Kejuruteraan, KD Pelanduk, Lumut, Perak.
Berkongsi pengalamannya, Kundai berkata beliau telah ditempatkan di beberapa kapal utama TLDM termasuk KD Raja Jarom, KD Mutiara, KD Sri Inderasakti dan KD Lekiu selain bertugas di beberapa markas seperti Markas Kejuruteraan TLDM dan Depot Penyelenggaraan Armada.
“Saya turut terlibat dalam Projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) di Jerman selain menjadi jurulatih dalam bidang teknikal pembinaan kapal di Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Lumut,” katanya kepada pemberita.
Beliau yang pernah dilantik sebagai Ketua Bahagian Seni Bina Tentera Laut dalam pasukan projek PV itu juga menjalankan tugas pemantauan di limbungan BLOHM+VOSS, Hamburg, Jerman, sebelum kapal tersebut dibawa pulang ke Malaysia.

Pangkat terakhir yang disandang Kundai ialah Pegawai Waran I (PWI) sebelum bersara secara rasmi pada Januari 2017. Namun, atas permintaan, beliau meneruskan khidmat sebagai Penugasan Sepenuh Masa (PSM) selama enam tahun sehingga Mac 2023.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting sebagai Ketua Penyelia Bengkel di Depot Pengurusan Armada Sarawak serta Juruaudit Kejuruteraan Marin di Markas Pemerintahan Armada Timur.
Menurut Kundai, sepanjang berkhidmat, beliau menekankan keperluan penyelenggaraan kapal mengikut prosedur dan standard keselamatan yang ketat termasuk pengurusan kecemasan dan logistik secara sistematik.
“Bagi memastikan kapal beroperasi dengan sempurna, semua peringkat penyelenggaraan sama ada di Organisational Level Maintenance (OLM), Intermediate Level Maintenance (ILM), Depot Level Maintenance (DLM) atau Limbungan perlu dipatuhi dengan rapi,” katanya.

Mengulas penglibatannya dalam sukan, Kundai berkata beliau aktif dalam bola sepak, bola tampar dan ping pong, selain pernah mewakili formasi TLDM dalam acara bola sepak di Olimpik Mini TLDM.
Beliau turut menjadi sukarelawan dalam Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 (SUKOM 98) dan mengakui meminati pasukan bola sepak Manchester United, malah berpeluang menyaksikan kelab itu beraksi secara langsung di Stuttgart, Jerman.
Atas dedikasi dan kecemerlangan dalam perkhidmatan, beliau dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak lima kali sepanjang kariernya.
“Sebagai seorang tentera laut, profesionalisme, disiplin, serta komitmen tinggi merupakan kunci kejayaan dalam menjalankan tugas.
“Terima kasih kepada TLDM kerana membentuk siapa saya hari ini. Semoga kejayaan dan kecemerlangan TLDM terus dipertingkatkan di persada antarabangsa. Sedia Berkorban!” katanya penuh semangat.
Oleh Tarani Lanting