
MIRI: Di sebalik keindahan lapisan warnanya yang tersusun rapi dengan motif unik sebagai identiti, kek lapis Sarawak bukan sekadar pencuci mulut tradisi sebaliknya lambang kebanggaan rakyat Bumi Kenyalang serta jambatan rasa mengeratkan hubungan dengan masyarakat Semenanjung.
Keistimewaan ini membuatkan ramai beranggapan kunjungan ke negeri yang kaya dengan keunikan budayanya itu tidak lengkap tanpa membawa pulang sepotong kek lapis, juadah ikonik yang pernah menawan hati juri terkenal Paul Hollywood dalam program The Great British Baking Show.
Namun begitu, selain keenakan rasanya, tidak ramai menyedari akan kerumitan penghasilannya yang menuntut kesabaran tinggi dan kemahiran tradisi, sekali gus mencetuskan ilham kepada anak jati Sarawak ini untuk menubuhkan Galeri dan Muzium Kek Lapis Sarawak Siti Payung, satu-satunya seumpamanya di negeri ini.

Tersergam indah di sebuah bangunan sederhana di Awalk Commercial Centre, Jalan Airport di sini, galeri dan muzium yang dibuka secara percuma sejak 2019 itu menjadi wadah perjuangan Mohammad Hafidz Rohani, 40, untuk memartabatkan kek lapis sebagai warisan seni kulinari bertaraf dunia serta memastikannya kekal lestari.
Ketika ditemui baru-baru ini, Pengarah Urusan Lana Corporation Sdn Bhd itu berkata idea tersebut tercetus selepas beliau menyertai satu program keusahawan, Alibaba Netpreneur Program di Alibaba Business School, Hangzhou, China sekali gus membuka matanya akan kepentingan mendokumentasikan sejarah perusahaan.
Mengusahakan perniagaaan kek tradisional itu pada 2009 dengan jenama Kek Lapis Sarawak Siti Payung, bapa kepada empat orang anak ini berkata pengalaman yang diperolehinya di China pada 2018 itu telah memberi inspirasi kepadanya untuk mengangkat warisan kebangsaan Bumi Kenyalang.
“Banyak contoh yang kita boleh lihat. Di Perancis, ada muzium khusus untuk keju, di Melaka kita boleh lihat Galeri Lebah yang menceritakan sejarah serta manfaat serangga itu, begitu juga di Petaling Jaya, Selangor terdapat muzium coklat yang menjadi tarikan pelancong.
“Semua ini memberi inspirasi bahawa produk tempatan bukan sekadar barang dagangan tetapi sebenarnya mempunyai nilai seni, budaya dan sejarah yang boleh dijadikan pusat ilmu serta destinasi pelancongan,” katanya kepada Bernama.

Istimewanya, galeri dan muzium yang berkeluasan kira-kira 1,800 kaki persegi itu tidak sekadar membawa pengunjung meneroka sejarah, identiti kek lapis Sarawak, akan tetapi turut sama memberi peluang kepada mereka mencuba sendiri proses menghasilkannya selain bergaya dengan busana tradisional Sarawak.
Dengan menjanjikan pengalaman interaktif, bermakna serta sarat nilai budaya, kewujudan galeri itu juga sejajar dengan harapan Mohammad Hafidz yang mahukan lebih ramai lagi khususnya dalam kalangan generasi muda untuk mengenali lebih dekat lagi kulinari warisan ini.
“Pengunjung dapat melihat sendiri evolusi kek lapis Sarawak… bagaimana ia bermula, siapa tokoh awalnya, mengenai penciptaan coraknya yang unik, bagaimana industri ini berkembang menjadi ikon Sarawak selain menjadi ruang mendokumentasi warisan itu untuk tatapan generasi akan datang.
“Bahagian galeri pula mempamerkan pelbagai jenis kek lapis dengan corak dan tema unik, manakala muzium pula menelusuri sejarah pembuatannya termasuk peralatan tradisional yang digunakan sejak dahulu,” katanya.
Paling menjadi tumpuan di muzium ialah buku resipi masakan tulisan tangan ibunya, Siti Jaharah Matassan, 74, yang menjadi lambang permulaan perjalanan keluarga mereka dalam dunia seni kulinari sebelum berkembang kepada perniagaan kek lapis jenama Siti Payung.
“Ramai kagum bila melihat perniagaan besar boleh bermula daripada catatan ringkas seorang ibu di buku nota. Ia jadi simbol kasih sayang dan semangat keluarga, mengingatkan mereka kepada resipi ibu sendiri,” ujarnya yang memiliki hampir 20 pekerja.
Kini, Siti Payung menghasilkan 39 jenis kek lapis termasuk variasi klasik seperti Masam Manis dan Betawi yang menjadi pilihan utama pelancong selain kek gulung bercorak unik seperti Cadbury, Oreo dan Pudina yang membezakan jenama ini daripada pengusaha lain.
Ketika ditanya perancangan masa depannya, Mohammad Hafidz berhasrat memodenkan muzium dengan teknologi baharu seperti paparan LED serta elemen interaktif berasaskan kecerdasan buatan bagi memberikan pengalaman lebih imersif kepada pengunjung.
“Saya juga berharap dapat memperluaskan muzium bagi menampung kehadiran lebih ramai pengunjung dengan visi menjadikannya bukan sahaja ikon Miri tetapi juga pusat rujukan gastronomi bertaraf antarabangsa,” katanya sambil menambah sekolah sekitar Miri turut menjadikan galeri ini sebagai lokasi lawatan sambil belajar. – Bernama