AWAL pagi Isnin lalu, orang ramai dikejutkan dengan berita yang tular menerusi WhatsApp mengenai laporan polis oleh seorang doktor muda di Pusat Pakar Perubatan Normah berkaitan kes membawa keluar bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Abdul Taib Mahmud dari hospital itu, menjelang tengah malam Sabtu lalu.
Orang ramai antara percaya dan tidak percaya sama ada laporan polis itu benar atau sebaliknya. Ini kerana sebelum ini, pernah berlaku laporan palsu yang disebarkan melalui media sosial bagi kes lain.
Laporan polis itu dibuat pada 1.49 pagi Ahad, 4 Februari lalu.
Difahamkan, pihak berkuasa serba salah sama ada mahu mengeluarkan kenyataan rasmi atau diam sahaja kerana kes itu bersifat peribadi dan soal kekeluargaan tetapi pada masa sama, orang yang terbabit adalah bekas Ketua Menteri (selama 33 tahun) dan bekas ketua negeri (selama 10 tahun).
Akhirnya, setelah beberapa jam isu itu tular, pada kira-kira 2.00 petang Isnin lalu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengesahkan bahawa pihak polis memang ada menerima laporan polis itu dan menyatakan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis kontinjen Sarawak telah terkesan satu hantaran tular melibatkan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, yang telah dimuat naik dalam media sosial,” katanya.
Kurang sejam kemudian, berita itu menjadi viral ke seluruh negara dengan hampir semua media utama negara selain media tempatan di Sarawak melalui berita dalam talian menyiarkan isu itu. Ia turut menarik perhatian media antarabangsa seperti Yahoo dan South China Morning Post dengan tajuk ‘Malaysia police probe claims Ex-Sarawak Governor Taib Mahmud was taken from hospital amid legal row’.
Kebanyakan tajuk berita oleh media nasional dan tempatan berbunyi ‘Taib Mahmud dibawa lari dari hospital’, ‘Dakwaan larikan Taib, polis Sarawak sahkan terima laporan’ dan ‘Polis siasat kes bawa Taib keluar dari hospital’.
Terdahulu pada sebelah pagi Isnin, portal berita yang berpangkalan di London, ‘Sarawak Report’ melaporkan dengan tajuk ‘Taib “Absconded” At Midnight From Hospital ICU Against Doctors Orders By Raghad! Ia mendakwa berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh seorang doktor berkenaan, Abdul Taib yang sedang menerima rawatan dibawa balik secara paksa ke rumahnya di Demak Jaya pada waktu tengah malam.
Ketika berita itu tengah hangat, muncul berita mengenai adik Abdul Taib iaitu Datuk Mohammad Tufail Mahmud, membuat laporan polis dan ia turut menjadi viral.
Bertanggungjawab
Menurut laporan beberapa media nasional dan portal tempatan, Mohammad Tufail mahu isteri kedua abangnya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, bertanggungjawab penuh jika sesuatu berlaku ke atas bekas Yang di-Pertua Negeri itu.
Beliau mendakwa mereka seisi keluarga, termasuk empat anak Abdul Taib tidak mengetahui keadaan sebenarnya tokoh berusia 87 tahun itu.
Namun, berita itu tidak terhenti di situ dan bagaikan babak drama apabila Raghad menjawab menerusi media sosialnya bahawa tuduhan terhadapnya tidak benar dan berniat jahat sambil mendakwa telah mendapat kebenaran jururawat bertugas dan memuat naik nota oleh jururawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.
Isteri Abdul Taib itu sekali lagi membuat hantaran melalui surat terbuka merayu kepada rakyat Sarawak agar menghentikan tuduhan dan sangkaan jahat terhadapnya.
Dalam satu surat terbuka kepada media sekitar jam 1.21 pagi kelmarin, Raghad berkata, beliau sedar tersebarnya berita mengenai dakwaan insiden melarikan Abdul Taib dari sebuah hospital pakar.
“Sejak beberapa hari lalu, tersebar imej dan berita di portal dan media sosial yang mencemarkan imej dan nama baik saya sebagai isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Satu-satunya kebimbangan saya pada masa ini ialah kesejahteraan suami saya, Tun Taib.
“Saya dengan rendah hati memohon tolong hentikan semua andaian dan tuduhan jahat ini terhadap saya kerana keutamaan saya hanya untuk menjaga suami saya pada ketika ini,” katanya.
Raghad turut merayu agar semua pihak tidak percaya akan sebarang khabar angin bahawa beliau akan melarikan diri.
“Walaupun saya adalah orang asing, tetapi sekarang saya rakyat Malaysia dan akan sentiasa menjadi rakyat Malaysia. Saya tidak akan meninggalkan negara ini dan akan meneruskan kerja-kerja amal saya kepada rakyat Sarawak selepas Tun Taib kembali sihat, Insya-Allah. Dengan ini, saya harap anda semua dapat berkumpul dan mendoakan Tun Taib. Terima kasih,” kata Raghad
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain meredakan keadaan apabila menyatakan dakwaan bahawa Abdul Taib dilarikan adalah tidak benar kerana keberadaan bekas Yang di-Pertua Negeri itu diketahui ahli keluarga, adik-beradik, peguam dan doktor serta jururawat yang merawat beliau di hospital.
Bukan diculik, dilarikan
“Pihak polis ada terima laporan media berhubung perkara ini daripada ahli keluarga tetapi bukan daripada CP (Pesuruhajaya Polis Sarawak), Pengarah JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) dan IGP (Ketua Polis Negara).
“Laporan-laporan itu kami ambil dan siasat, namun ia tidak benar seperti yang dilaporkan mengatakan TYT (Tuan Yang Terutama) Abdul Taib diculik atau dilarikan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 21 dan Perasmian VSP 2.0 bersempena dengan Tahun Baharu Cina 2024 di Persada PLUS, Subang.
Razarudin berkata, fakta yang dilaporkan oleh media mengenai Abdul Taib sebelum ini perlu dibetulkan kembali dan hanya kenyataan rasmi polis boleh dikeluarkan berhubung maklumat kes berkenaan,” katanya dan menambah polis masih menjalankan siasatan kes itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata Abdul Taib kini menerima rawatan di kediamannya di Demak Jaya sambil memaklumkan bekas Yang di-Pertua Negeri itu berkeadaan baik.
Beliau berkata, setakat ini, polis menerima lapan laporan berhubung isu membabitkan Abdul Taib, selepas beliau dibawa keluar dari Hospital Pakar Normah, Petra Jaya, tengah malam Sabtu lalu.
“Ya, Tun kini berada di rumahnya sendiri di Demak Jaya tetapi kita tidak boleh memberikan butiran lanjut. Ini kerana kes masih dalam siasatan selepas polis menerima lapan laporan sehingga kini,” katanya kepada media selepas melancarkan Op Selamat sempena perayaan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, semalam.
Ketika ditanya lapan laporan polis itu diterima daripada pihak mana, Mancha enggan mengulas lanjut.
“Ia tidak boleh didedahkan kerana pihak kami masih menjalankan siasatan,” katanya.
Berdasarkan Wikipedia, nama penuhnya ialah Ragad Waleed Alkurdi yang dilahirkan di Damsyik, Syria pada 15 Januari 1980.
Beliau adalah anak bongsu daripada empat adik-beradik, anak kepada Waleed Alkurdi dan Khayami Alkurdi. Adik-beradiknya yang lain adalah Samer, Mohamad dan Samar. Keluarganya berpindah ke Riyadh, Arab Saudi ketika Raghad masih muda. Bapa mereka meninggal dunia pada 2003.
Moyang beliau merupakan seorang Wari dari Orfa, Kurdistan. Nama asal moyang mereka adalah Khalil Orfali yang kemudiannya menukar nama kepada Al-Kurdi apabila berpindah ke Syria.
Raghad mendirikan rumah tangga dengan Abdul Taib ketika usia 30 tahun pada 18 Disember 2010. Raghad menubuhkan sebuah yayasan, Ragad Foundation bagi menyalurkan sumbangan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak dan pembangunan pendidikan golongan luar bandar.
Anak bongsu Abdul Taib Datuk Hanifah Hajar pula memohon orang ramai mendoakan kesihatan bapanya yang sedang sakit.
“Doakan beliau sembuh,” katanya ditemui media di luar persidangan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) di Petaling Jaya, kelmarin tetapi enggan mengulas lanjut.
Kita sama-sama doakan agar kesihatan Tun Taib pulih. Amin.
Kepada masyarakat Tionghua pula penulis ucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’. Sheng Yi Xing Rong.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.