



GERAI apam balik di tepi Jalan Panggung Wayang di sini mungkin kelihatan biasa di mata orang ramai sepertimana perniagaan kuih tradisional lain, namun di sebalik kesederhanaannya ada kisah pengorbanan, tanggungjawab dan kasih seorang anak kepada keluarganya.
Muhammad Shah Rizal Azuardi, anak jati Bidor ini memilih untuk pulang ke kampung halaman dan meneruskan legasi apam balik milik keluarganya, satu keputusan hidup yang diambil dengan penuh kesedaran meskipun memiliki Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi dan Pertanian.
Bagi anak muda berusia 28 tahun ini, keputusan nekad itu dibuat demi memenuhi tanggungjawab terhadap keluarganya selepas melihat keadaan kesihatan ibu bapanya yang semakin uzur dan tidak lagi berdaya untuk meneruskan perniagaan yang diusahakan sejak sekian lama.
Mengorbankan impian menjadi pakar bioteknologi atau setidak-tidaknya pegawai tadbir diplomatik, dia tidak kisah mengerah kudrat di tepi jalan biarpun ketika itu telah memiliki kerja selesa sebagai pembantu penyelidik di sebuah institut penyelidikan.
“Memang tidak pernah terfikir akan menjadikan perniagaan apam balik ini sebagai kerjaya. Waktu kecil memang selalu ikut ibu dan ayah berniaga tapi sekadar membantu. Lama-kelamaan, ia terasa seperti satu tanggungjawab.
“Keadaan kesihatan ayah semakin uzur, ibu pula sering tidak sihat…atas rasa tanggungawab sebagai anak, saya membuat keputusan besar. Lagipun, ayah sering meminta saya mengambil alih gerai apam balik yang telah diusahakannya sejak 40 tahun lalu,” kata anak muda lulusan Universiti Sultan Zainal Abidin ini kepada Bernama.
Bercerita dengan lebih lanjut, anak bongsu daripada lima beradik itu mula mengambil alih perniagaan keluarganya secara serius selepas pulang ke kampung pada 2020, ketika negara berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan .
Menyifatkannya keputusannya itu tepat kerana kehidupan di kampung yang lebih tenang tanpa kesesakan trafik, tekanan kerja pejabat serta kos kehidupan sepertimana di bandar, anak muda ini tidak menafikan pelbagai cabaran dihadapi sepanjang mengendalikan perniagaan milik keluarganya.
“Pernah kawan datang beli apam balik. Bila saya hulur tangan nak salam, dia tolak dan kata tangan saya kotor. Memang terasa, tapi saya pujuk diri yang saya cari rezeki halal dan tak menyusahkan sesiapa.
“Saya juga pernah menggaji pembantu, namun ditinggalkan ketika perniagaan benar-benar memerlukan bantuan. Ketika itu, memang terasa mahu jatuh tetapi pengalaman tersebut menguatkan saya kekal ke hari ini dan sekarang, semuanya saya urus sendiri,” katanya.



Mengakui di sebalik pengalaman pahitnya itu, anak muda yang lebih mesra disapa sebagai Rizal ini berkata selain sokongan serta doa ibu bapanya, dia juga turut menerima dorongan daripada bekas pensyarahnya, sekali gus menjadi sumber kekuatan utamanya untuk meneruskan perniagaan warisan itu.
Biarpun ibunya sebelum ini pernah meluahkan rasa bersalah apabila melihat dirinya yang berpendidikan tinggi terpaksa meneruskan legasi ayah di tepi jalan, anak muda ini menegaskan keputusan itu tidak pernah dianggapnya sebagai satu pengorbanan yang sia-sia dan tidak memiliki masa depan.
“Pilihan menjadi usahawan sering disalah tafsir seolah-olah satu langkah ‘downgrade’ sedangkan bidang keusahawanan mempunyai kelebihan tersendiri. Selain itu, ia juga membuka ruang membina kejayaan mengikut acuan sendiri serta menjanjikan pendapatan lumayan melebihi kerjaya sebelum ini,” katanya.
Menghasilkan pelbagai jenis apam balik antaranya apam balik asli, apam balik rangup, kuih Sarawak dengan pelbagai bahan tambahan, Rizal mampu mengadun kira-kira 16 hingga 20 kilogram tepung gandum setiap hari.
Kini, dia menyimpan impian untuk memajukan perniagaan itu terutama menambah cawangan di pekan- pekan berdekatan, selain menambah baik menu apam baliknya sesuai dengan peredaran zaman.
“Jika dulu hanya ada apam balik dengan ramuan kacang dan jagung, kini saya menjual pelbagai jenis apam balik mengandungi macam-macam perisa antaranya apam balik pandan, keju , susu, coklat, red velvet dengan harga mengikut saiz antara RM4 hingga RM7 sekeping, manakala yang rangup RM1.
“Walaupun usaha ini masih kecil, saya bangga dapat meneruskan apa yang ayah mulakan. Harap satu hari nanti orang mengenali Apam Balik Lagend Bidor bukan sahaja kerana rasanya, tetapi juga cerita di sebaliknya,” katanya. – Bernama