
KOTA SAMARAHAN: Nama Dexter Ngabong kini bukan lagi asing dalam dunia hiburan tempatan. Dalam masa singkat, anak muda berbakat ini berjaya menawan hati pendengar dengan lagu terbarunya Salah Jayau, yang kini menjadi siulan ramai dan sering berkumandang di stesen radio tempatan.
Namun siapa sangka, sebelum bergelar penyanyi, Dexter sebenarnya bermula sebagai YouTuber yang gemar berkongsi kandungan harian di salurannya. Langkah berani menukar haluan ke dunia nyanyian pada 2023 ternyata membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
“Saya tidak pernah terfikir akan menjadi penyanyi. Tujuan asal hanya mahu mempelbagaikan konten di YouTube. Tapi selepas lagu pertama saya, Tesau Gawai, mendapat perhatian, saya mula nampak potensi besar dalam bidang muzik,” ujarnya yang kini semakin dikenali dalam industri muzik Dayak.
Selepas itu, Dexter terus meluncur deras dengan beberapa lagu seperti Tingkar Suyak dan Nyentuk Ke Tuai, sebelum mencipta gelombang besar menerusi Salah Jayau – lagu yang bukan sahaja tular di media sosial, malah menjadi antara karya paling digemari pendengar muda.
Menurutnya, penerimaan peminat terhadap Salah Jayau benar-benar di luar jangkaan.
“Saya amat terkejut apabila dalam tempoh dua minggu sahaja, video muzik Salah Jayau mencecah lebih 100,000 tontonan. Saya tidak sangka lagu ini boleh menembusi hati ramai orang. Sebenarnya idea muzik video muncul lebih awal daripada lagu itu sendiri,” katanya sambil tersenyum, mengimbas kenangan manis kejayaan tersebut.

Di sebalik kejayaan itu, Dexter tetap berpijak di bumi nyata. Baginya, sokongan keluarga menjadi tonggak utama yang menguatkan langkahnya dalam dunia seni.
“Keluarga saya amat memahami dan menyokong sepenuhnya. Malah, adik saya, Leo James, sudah lama aktif dalam industri muzik Dayak dengan lagu popular seperti Nguai dan Ke Pengujung Seput. Dia antara inspirasi utama saya untuk terus berkarya,” ujarnya.
Dexter turut mengakui, cabaran terbesar bukanlah untuk dikenali, tetapi mengekalkan kualiti dan keaslian karya di tengah-tengah lautan muzik digital yang semakin sesak.
“Teknologi memudahkan segalanya, tapi bakat dan kualiti masih perlu diutamakan. Lagu yang baik datang daripada kejujuran,” katanya dengan nada tenang.
Dalam berkarya, Dexter menjadikan Stevenson dan Hairee Francis sebagai sumber inspirasi, sambil mengakui kebanyakan lagu-lagunya ditulis sendiri bersama komposer muda berbakat, Alexius Paul.

Setiap bait lagu yang dihasilkan membawa mesej positif tentang kehidupan, gaya hidup masyarakat serta nilai ketabahan – menjadikan karya Dexter bukan sekadar hiburan, tetapi juga cerminan realiti.
“Saya mahu pendengar merasai kejujuran dalam setiap lagu saya. Muzik bagi saya adalah medium untuk menyebarkan aura positif dan menyentuh hati orang lain,” jelasnya lagi.
Bagi Dexter, industri hiburan tempatan kini sedang berkembang pesat. Beliau percaya, artis muda perlu berani bereksperimen dan tidak takut untuk menonjolkan identiti sendiri.
“Saya tidak mahu terikat dengan satu genre sahaja. Saya sukakan variasi dan saya percaya muzik yang pelbagai membawa warna baharu kepada industri tempatan,” katanya mengakhiri perbualan dengan penuh semangat.
Oleh Norman B