Oleh Mohd Haziq Danish
‘AKU tak pernah menyangka Tuhan mendengar doaku untuk memiliki Probat G45 ni.’
Air mata kegembiraan Nuruddin mula mengalir. Cita-citanya jauh. Banyak yang perlu difikirkan untuk Sinar Gayo, syarikat pemanggangan biji kopi telah dimulakan oleh Nuruddin pada suku keempat tahun 2019. Dua tahun berlalu dan Sinar Gayo telah mendapat sinar baharu apabila Nuruddin dihadiahkan mesin Probat G45, mesin elektrik untuk memanggang biji kopi berjenama mahal. Dengan mesin ini, biji kopi pastinya boleh dipanggang dengan skala raya serta warna panggangan yang lebih sekata.
Nuruddin, anak muda yang berjaya untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan mana-mana pemanggang biji kopi lain. Memang itulah cita-cita Nuruddin sejak di bangku sekolah, ketika murid 3 Hijau kelasnya di Sekolah Kebangsaan Semerah Padi mengimpikan kerjaya Doktor, Engineer, Ahli Perniagaan, di kalbu Nuruddin tetap terpahat impiannya sebagai tukang kopi asbab pembawaan keluarganya yang mempunyai kebun kopi. Hadiah mesin berjenama yang terbaharu itu menjadi batu loncatan untuk Nuruddin menjual biji kopi ke segenap pelosok negara. Namun suka duka Nuruddin dalam memanggang biji kopi tidak diketahui ramai.
Dôk adôk bôbôk mênjadi kupi (Kacau-kacau, serbuk menjadi kopi)
Cêcëp paet rôm lungi ken dëlah si mênyê (Merasa pahit dan manis untuk lidah si manja)
”Aku dah lambat dah.” Nuruddin mematikan muzik penggera telefon pintar Samsungnya. Muzik ditetapkan Nuruddin sebagai penggera merupakan lagu Cap Kupi Gayo yang dinyanyikan oleh penyanyi masyhur Indonesia, Ervan Ceh Kul. Begitu sekali cinta Nuruddin pada dunia kopi. Bahkan di dinding kamar tidurnya itu ada barisan gambar jenis bijian kopi dari seantero dunia. Cadarnya, alas bantal, juga bertema kopi.
Selama setahun, Nuruddin telah berusaha bersungguh-sungguh dalam memanggang biji kopi menggunakan kuali sahaja, bermula pada tahun 2015. Nuruddin belajar memanggang biji kopi hanya dengan beralatkan laman youtube sahaja, di mana Nuruddin membeli sendiri biji kopi hijau, biji kopi yang belum dipanggang dari sebuah ladang kopi Robusta di Kuching, Sarawak. Nuruddin juga pernah menjual serbuk kopi yang dikisar dan dipanggangnya sendiri.
”Aku tak nak serbuk kopi dari kau, hangit.” Pekik seorang lelaki yang sudah agak baya. Pek serbuk kopi dicampak di depan wajah Nuruddin. Sehingga kini, Nuruddin masih ingat peristiwa itu.
Ternyata kejadian yang berlaku itu tidak mematahkan semangat Nuruddin untuk terus melatih diri dalam memanggang biji kopi menggunakan kuali. Nuruddin seperti kebiasaannya telah berjalan dari rumah ke rumah dalam usahanya menjual serbuk kopi. Nuruddin memberi salam serta mengetuk pintu sebuah rumah. Seorang lelaki bermisai, berjanggut hitam membuka pintu.
”Encik, saya Nuruddin. Saya ada jual kopi serbuk kopi. Encik nak cuba?” Nuruddin terus menyatakan hasrat untuk menjual serbuk kopinya.
”Saya Ahmad, boleh saya tengok dan hidu serbuk yang kamu jual?” Ahmad memperkenalkan dirinya lalu membuat permintaan ringkas.
”Boleh Encik Ahmad.” Nuruddin lalu menyerahkan satu pek serbuk kopi kepada Ahmad.
”Maaf Nuruddin, saya nak beritahu yang sebenarnya cara kamu panggang kopi ni salah.”
Ahmad mula menerangkan secara ringkas. Nuruddin tercengang, keningnya berkerut serta kepalanya digaru-garu, penuh persoalan di benaknya.
Ahmad mempelawa Nuruddin untuk masuk ke rumah. Nuruddin memerhatikan ruangan dapur milik Ahmad, penuh dengan balang biji kopi serta kuali.
”Sebenarnya Nuruddin, saya seorang pemanggang kopi.” Ujar Ahmad. Mata Nuruddin besar membundar, mulutnya terbuka sedikit.
”Saya berasal dari Aceh, Indonesia. Saya bersuku Gayo, suku Gayo secara tradisional mahir dalam memanggang biji kopi walaupun dengan kuali sahaja.”
”Sudikah sekiranya Encik mengajar saya cara untuk memanggang biji kopi menggunakan kuali dengan betul?”
”Boleh, tetapi kamu mesti belajar dengan sabar.” Jawab Ahmad berserta senyuman.
”Ingat, dalam memanggang biji kopi, biji kopi yang dipanggang mesti mula menjadi gelap secara sekata. Jangan lupa, biji kopi mesti sekurang-kurangnya boleh dikisar dan diseduh selepas hari kelima memanggang biji kopi.” Ahmad menerangkan secara panjang lebar pada suatu ketika sepanjang Nuruddin berguru dengan Ahmad. Seduh merupakan suatu istilah untuk mengekstrak air kopi dari serbuk kopi. Dan memanggang biji kopi dengan kuali, memerlukan tenaga, ketelitian, pengetahuan untuk menghasilkan panggangan biji kopi yang sekata.
Sehingga hujung bulan 2016, Nuruddin tekun berlatih memanggang biji kopi sehinggalah kemahirannya diperakui sendiri oleh Ahmad.
”Akhirnya kamu mahir memanggang biji kopi Nuruddin, sekarang kamu boleh menjual serbuk kopi kepada masyarakat.” Ahmad memberikan izin Nuruddin untuk menjual serbuk kopi.
Berkat kesabarannya berguru dengan Ahmad, setiap orang yang membeli serbuk kopi darinya pasti akan memuji serbuk kopi yang Nuruddin jual bahkan dari bau serbuk serta rasa air kopi apabila serbuk kopi itu sendiri diseduh.
Bukan setakat ilmu tentang kopi, anak kelahiran tanah asal Merah Silu itu juga mendidik Nuruddin dengan ilmu-ilmu agama seperti ilmu tauhid, fiqah dan juga tasawuf. Sebenarnya, bagi yang mengenali suku Gayo, mereka mengetahui bahawa suku Gayo sememangnya penganut agama Islam yang taat. Suku Gayo juga masyhur dengan budaya yang kaya, sebagaimana bangsa Melayu di Malaysia. Bagi penggemar budaya tarian ras Melayu mungkin mengetahui bahawa suku Gayo masyhur dengan tarian Saman, suatu tarian yang dihubungkan dengan Syeikh Saman.
Nuruddin terus menerus berusaha menjual biji kopi sehingga akhirnya pada awal 2018, Nuruddin mampu membeli mesin memanggang biji kopi murah, Kaleido. Nuruddin terus berniaga, menjual biji kopi Robusta dan Liberica tempatan Sarawak. Tidak ramai yang tahu bahawa di Sarawak itu sendiri juga mempunyai biji kopi Liberica tempatan. Sebenarnya usaha penanaman telah dimulakan oleh Rajah Kedua Sarawak lagi, aitu Rajah Charles Brooke pada tahun 1876 apabila percubaan penanaman biji kopi Arabika di Sarawak tidak membuahkan hasil satu dekad sebelumnya.
Kejayaan demi kejayaan sudah mula dikecapi, sudah tentu cita-cita setiap peniaga ialah membuka syarikat tersendiri. Maka, Nuruddin bertanya Ahmad dalam membuat keputusan yang mustahak itu pada pertengahan tahun 2019. Nuruddin dan Ahmad duduk bersampingan. Lagu rakyat Sarawak ”Pantun Mensea” yang dipopularkan Zamhari Haji Mustapha juga bermain di radio Sarawak FM semasa mereka sedang berbincang.
”Saya fikir nak buka syarikat saya sendiri. Apa pendapat Encik Ahmad dalam hal ini?” Nuruddin menyoal Ahmad, sambil mereka berdua menghirup secawan kopi Robusta dari jenama Kopizo, jenama biji kopi yang diusahakan oleh bumiputera tempatan.
”Jadi secara ringkasnya kamu nak buat macam mana?” Soal Ahmad kembali sambil menambah satu sudu gula apong ke dalam cawannya yang berisi kopi Robusta itu. Sungguhpun sebahagian orang boleh meminum Robusta kosong yang pahit tanpa gula, namun secara kebiasaannya Ahmad akan menambah gula jika meminum kopi berasaskan biji kopi Robusta.
”Saya nak jual biji kopi tempatan. Saya nak jual Robusta dan Liberica Encik.” Nuruddin menjawab secara ringkas. Ahmad menghirup air kopinya sehingga habis, cawannya diletak perlahan-lahan. Ahmad termenung seketika sambil memandang sudut lain.
”Kenapa Encik?” Nuruddin mula berfikir ideanya tidak bernas bagi Ahmad.
”Begini Nuruddin. Sebenarnya kopi yang pahit berada dalam arus perdana. Khususnya jika kita berbicara soal biji kopi Robusta. Adapun Liberica tempatan, kebiasaannya juga akan dipanggang gelap kerana bentuknya yang kurang mempunyai nilai estetika. Ini akan menjadikan kopi tidak mempunyai tarikan baharu khususnya masyarakat kita yang gemar akan sesuatu yang berbeza.” Ahmad menerangkan pendapatnya panjang lebar.
Benarlah. Melalui pembacaan Nuruddin, biji kopi Arabika bernota rasa buah-buahan. Apabila dipanggang ringan, kekacang apabila dipanggang sederhana, kecoklatan apabila dipanggang sederhana – gelap. Lantas, Nuruddin kembali menyoal Ahmad.
”Jadi Encik nak saya jual biji kopi Arabika?” Nuruddin seperti mengetahui mafhum tersirat dari kata-kata Ahmad.
”Saya fikir kopi Gayo boleh mendapat sambutan di Kuching dan Samarahan.” Ahmad memberi jawapan ringkas.
”Kopi Gayo?” Ahmad tercengang kerana pertama kali mendengar nama biji kopi tersebut, Ternyata pembacaan yang dilakukannya belum mencukupi.
”Sebenarnya biji kopi Arabika Gayo merupakan antara kopi yang masyhur di dunia. Mungkin kamu boleh ikut saya kembali ke Takengon, tempat asal saya di Aceh.”
Nuruddin menerima cadangan tersebut lantas mengusahakan membeli tiket kapal terbang ke Aceh, Indonesia dalam beberapa hari. Takengon mempunyai kawasan perbukitan serta pergunungan yang menjadi kawasan penanaman pokok kopi Gayo. Di Takengon, Nuruddin melihat betapa kaum ibu berpakaian mengikut tuntutan agama serta berusaha bersungguh-sungguh menjadi petani kopi, dalam mencari nafkah untuk menyara kehidupan keluarga.
Pernah suatu ketika Nuruddin melihat seorang wanita mendukung anaknya sambil memetik biji kopi. Nuruddin juga menyaksikan para petani kopi di Takengon juga tidak lupa untuk mendirikan solat.
”Semangat Kopi Gayo itu dibina atas elemen kemegahan Nusantara, usaha berterusan, suasana kebersamaan dan kerohanian.” Terang Ahmad semasa mereka berjalan-jalan di kawasan penanaman pokok kopi Gayo.
”Kopi Gayo merupakan kopi yang ringan pada lidah. Rasanya kurang pahit serta banyak kemanisan asli dari biji kopinya. Mungkin kamu boleh mencuba untuk menjual biji kopi Gayo pula di Kuching.” Ahmad menyambung penerangannya. Nuruddin dan Ahmad telah berjumpa dengan pemilik ladang kopi di Takengon dan mula membuat beberapa perbincangan.
Masa berlalu, perbincangan demi perbincangan dibuat. Akhirnya Nuruddin memilih untuk mengimport biji kopi Gayo dari Indonesia. Pada suku terakhir tahun 2019, Nuruddin telah membuka syarikatnya dengan nama Sinar Gayo. Nama yang dipilih oleh Nuruddin kerana dengan adanya kopi Gayo yang dibawa ke Kuching, Sarawak, akan mengubah pandangan masyarakat berkenaan dengan kopi.
Sepanjang Nuruddin memperkenalkan biji kopi Gayo kepada masyarakat, banyak usaha yang telah dilakukan. Nuruddin telah membuat beberapa seminar tentang kopi serta melatih sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi barista. Nuruddin juga pernah ditemu ramah suatu masa dahulu oleh TV Sarawak.
”Apakah yang mendorong Encik Nuruddin untuk berada di peringkat sekarang?” Soal Nasrul, seorang wartawan di tempat kediamannya.
”Saya percaya bahawa setiap orang boleh berjaya, walaupun hanya memanggang biji kopi dan menjual biji kopi. Masyarakat harus bersikap terbuka dan optimis terhadap usaha setiap ahli masyarakat untuk mencari rezeki, bukan memandang sinis jika seseorang itu tidak bekerja dalam jabatan kerajaan mahupun kerja yang tidak berjawatan tinggi. Saya amat berterima kasih kepada guru kopi saya, Encik Ahmad dan seorang yang pernah merendahkan saya suatu ketika dahulu.” Ujar Nuruddin panjang lebar.
”Jadi Encik, kenapa masyarakat perlu mencuba biji kopi Gayo, apakah keistimewaannya?” Sebagaimana wartawan lain, Nasrul cuba untuk mengambil kesempatan bertanya pelbagai soalan.
”Sebenarnya kopi Gayo merupakan kopi yang ringan. Kopi ini kurang rasa pahitnya namun mempunyai rasa manis seperti coklat susu serta rasa masam seperti anggur hitam. Rasa kopi ini memang unik, setiap orang mesti mencuba kopi ini, bahkan di tanah Gayo mempunyai serbaneka kopi Gayo.” Ulas Nuruddin lagi. Temu ramah itu menjadikan Nuruddin masyhur bahkan seantero Malaysia.
1 Januari 2022, itulah tarikh Nuruddin akhirnya dihadiahkan Probat G45 oleh lelaki yang pada tujuh tahun yang lalu yang telah menghina dirinya. Memperkenalkan dirinya sebagai Mustafa, orang besar di TVS.
”Mudahan ini cukup sebagai ganti kerana saya pernah merendahkan kamu dahulu.” Mustafa menjelaskan panjang lebar dengan sekelumit nada kesal. ”Dahulu, saya seorang yang sangat sombong. Saya amat berbangga dengan kekayaan serta apa yang saya ada. Sehinggalah suatu hari saya telah dibawa ke hospital dan disahkan menghidapi masalah jantung. Saya terus berfikir apa kesilapan yang saya lakukan, sehinggalah saya menonton temu ramah kamu di TVS.” Riak wajah lelaki itu menunjukkan rasa teramat kesal.
”Saya nak tebus balik kesalahan saya. Saya sangat berharap mesin Probat G45 ini akan membantu kamu memanggang biji kopi dengan lebih baik. Sebenarnya saya telah merujuk Encik Ahmad untuk pembelian mesin ini.” Terang lelaki itu dengan kekesalan yang tidak ada sudahnya pada wajahnya serta sugul, namun akhirnya diukir senyuman kecil.
”Takpa Encik, cukuplah apa yang berlaku menjadi pengajaran buat Encik. Jangan pernah menghina orang lain apabila mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki. Namun saya hairan, bagaimanakah Encik mengenali Encik Ahmad?”
Ahmad menepuk bahu kiri Nuruddin.
“Sebenarnya Nuruddin, sebenarnya saya dan Encik Mustafa bersahabat baik, sehingga pada satu saat kami bertelagah kerana budaya masyarakat Gayo. Sebagai seorang tradisionalis Gayo, saya amat berkeras dengan pandangan saya. Saya dan Encik Mustafa tidak bertegur sapa selama bertahun-tahun asbab pertikaian lidah yang teruk, bahkan Mustafa membenci apa sahaja yang berkait dengan nilai Gayo termasuk kopi.”
Terkesima, mula menunduk malu, namun Mustafa membalas kembali dengan tenang. “Maafkan saya Ahmad, kerana tidak bersependapat dengan kamu dahulu, namun sekarang saya sedar, sebagai seorang modenis, saya harus menghormati budaya masyarakat yang tradisionalis. Dan maafkan saya Nuruddin kerana sikap saya yang amat buruk terhadap kamu dahulu, dek kerana kebencian saya terhadap apa-apa sahaja tentang nilai Gayo.”
“Takpa Encik, anggaplah memori semalam menjadi batu loncatan untuk saya pergi lebih jauh. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Apakah alasan saya lagi untuk berputus asa dengan cabaran menjadi tukang kopi?” Bunyi putaran mesin kopi menjadi latar bunyi perbicaraan Nuruddin.
”Apa pun, saya nak ucap terima kasih kepada encik atas hadiah Probat G45 ni.” Nuruddin menyambung bicara, menunduk badan sedikit ke arah lelaki itu sambil meletakkan tangan di dada.
”Jangan begitu, saya yang bersalah. Saya yang patut berterima kasih kerana kamu telah mengajarkan saya erti kehidupan. Bahawa kekayaan dan apa yang kita miliki bukan untuk berbangga-bangga namun untuk dimanfaatkan sebaiknya.” Lelaki itu turut meletakkan tangan di dada.
Di kilang itu, merela bertiga akhirnya duduk sebentar,meminum kopi Brazil Cerrado seduhan V-60 yang diseduh oleh Ahmad.
”Maka jadilah kamu seperti kopi Gayo. Pahitnya kurang, masamnya sedikit, namun manisnya banyak. Ada ketikanya hidup kamu berasa pahit. Kadangkala memang ada harimu bermuram durja. Namun ibrah manis dari pahit masam hidupmu, ambillah ibrah manis darinya.” Ahmad berfalsafah panjang. Nuruddin dan Mustafa tekun mendengar.
Biarlah Probat G45 menjadi saksi sebuah usaha berterusan akhirnya membuahkan kejayaan. Dan biarlah sebiji kopi itu, mahupun dari mana sahaja, Malaysia, Indonesia, mahupun Brazil, menjadi tarbiah hakikat kehidupan seorang insan yang tak pernah lelah dalam perjuangan.