




PENGUKIR kraf tradisi kaca, Rosman Nordin, 57, menunjukkan rekaan kraf kaca yang dihasilkan di bengkelnya di Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC), baru-baru ini. Kaca yang digunakan sebagai bahan pembuatan kraf diimport dari China dan Jepun sebelum dipanaskan menggunakan teknik ‘lampwork’ bagi membentuk arca seperti haiwan, huruf nama serta pelbagai rekaan lagi mengikut kehendak pelanggan. Foto BERNAMA
PERNAH dipandang tiada masa depan kerana terjerumus dalam dunia mat rempit ketika zaman remajanya, namun segalanya berubah hampir empat dekad lalu apabila Rusman Nordin, 57 menemui ‘sinar harapan’ di balik bara dan kaca yang mengubah sisi kehidupan lelaki ini.
Menjadi antara satu-satunya pembuat kraf tradisi kaca yang masih aktif di negeri ini, seni itu telah membuka lembaran baharu kepadanya untuk menikmati perjalanan rezeki yang lebih baik tatkala tidak ramai yang ingin menceburinya disebabkan kerenyahan serta bahang panas yang dihadapi setiap hari.
Kini selepas hampir 40 tahun memartabat dan mempertahan warisan yang kian terpinggir itu, bapa kepada tiga orang anak ini sudah mampu mengukir senyuman bangga apabila kehalusan hasil ukiran kacanya terus diminati peminat seni tempatan dan antarabangsa menerusi jenama Kumin Kraf.
Menemuinya baru-baru ini di bengkelnya yang beroperasi di Kompleks Kraf Noor Arfa di sini, lelaki ini berkata minat terhadap seni kraf tradisi itu tumbuh secara tidak sengaja selepas dipaksa abang sepupunya yang tidak mahu melihatnya banyak menghabiskan masa melepak bersama rakan-rakan mat rempit.
“Saya mula belajar (kraf kaca) pada 1989 dengan seorang lelaki berbangsa Cina di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur. Masa itu, saya dipaksa abang sepupu kerana saya seorang ‘mat rempit’, tiada hala tuju dan banyak menghabiskan masa melepak bersama rakan-rakan.
“Pada awalnya, saya memang tidak minat tetapi lama-kelamaan, apabila sudah selesa memegang alat panas dan melihat kaca berubah bentuk menjadi sesuatu yang cantik, saya terus jatuh cinta. Apatah lagi, apabila orang (pengunjung) kagum dan hargai hasil seni kita… itu yang buat saya terus bersemangat,” katanya kepada Bernama.
Tidak lagi menoleh ke belakang dan meninggalkan jauh kehidupan mat rempit, Rusman sejak dari itu tekun menguasai kemahiran seni itu sehingga dapat menghasilkan pelbagai arca menarik berbentuk haiwan, huruf, rekaan moden yang dijadikan sebagai cenderamata, hadiah istimewa serta perhiasan rumah.
Kini, lelaki ini mampu menghasilkan 20 hingga 30 arca kecil yang unik dan penuh daya tarikan, bergantung pada bentuk serta permintaan pelanggan dengan dijual pada harga yang tidak terlalu mahal bagi membolehkan karya seninya itu dapat dimiliki ramai.
“Harganya tidak terlalu tinggi, hanya serendah RM6 untuk satu huruf, menjadikannya cenderamata yang mampu milik dan bermakna terutamanya untuk hantaran perkahwinan atau hadiah kenangan,” katanya.
Rusman berkata kaca yang digunakan sebagai bahan utama pembuatan kraf tersebut diimport dari China dan Jepun sebelum dipanaskan menggunakan teknik ‘lampwork’ dengan bantuan alat khas bagi membentuk arca seperti haiwan, huruf nama serta pelbagai rekaan berunsur moden dan tradisional.
“Kaca ‘pyrex’ lebih mahal tetapi tahan panas dan sesuai untuk kerja halus berbanding ‘soda glass’, yang mudah cair dan lebih rapuh. Apapun, kerja ini memang perlukan kesabaran dan keberanian, saya sendiri sudah beberapa kali terluka terkena serpihan kaca.
“(Bagaimanapun) Ramai orang kita tak tahu akan kewujudan kraf kaca ini. Kalau sebut batik dan songket, semua kenal. Tetapi bila datang ke bengkel saya, baru mereka tahu kaca boleh jadi seni,” katanya.
Rusman berkata cabaran utama kelangsungan seni kraf tradisi ini ialah ketiadaan pelapis kerana kebanyakan anak muda yang datang belajar tidak mampu bertahan lama khususnya apabila berdepan dengan api.
“Setakat ini hanya saya seorang sahaja yang masih aktif di Terengganu manakala di seluruh Malaysia pun, jumlahnya mungkin tidak sampai 10 orang,” katanya yang pernah terdetik untuk berhenti, namun rasa tanggungjawab mempertahankan seni warisan itu membuatkannya kekal bertahan.
Inginkan lebih ramai anak muda menerokai seni halus ini, Rusman bersedia menurunkan ilmu kepada generasi baharu kerana tidak mahu melihat khazanah kraf negara ini akhirnya mati begitu sahaja selain mengharapkan bantuan kerajaan dan agensi berkaitan.
“Saya harapkan kerajaan dan agensi yang sepatutnya dapat tampil membantu memperkenalkan semula kraf tersebut kepada masyarakat termasuk dalam bentuk latihan, insentif atau kempen kesedaran.
“Saya tak minta apa-apa, cuma nak tengok seni ini hidup balik. Kalau di negara luar macam China, seni kaca dimartabatkan. Tapi di sini, kita sendiri tak cakna,” katanya.– Bernama