
KUCHING: Dari Kampung Seberang Kedai, Lawas ke Harvard dan bakal mengetuai Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah mencatat sejarah menjadi Pesuruhjaya Polis termuda pada usia 47 tahun.
Pelantikan berkuat kuasa 29 September itu menyaksikan beliau menggantikan Datuk Mancha Ata yang bersara wajib pada tarikh sama.
Dengan kenaikan ini, Mohamad Zainal menjadi pegawai polis paling muda menyandang jawatan tersebut selepas arwah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.
Sebelum ini, beliau menyandang jawatan Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, selain pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/Undang-Undang JSJ Bukit Aman, Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah.
Beliau memulakan karier dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pegawai penyiasat jenayah kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, namun sebelum itu pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Perusahaan Utama, memegang jawatan Penolong Setiausaha Bahagian Antarabangsa.
Dalam satu hantaran di laman Facebook, anak jati Kampung Seberang Kedai, Lawas itu menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang kembali berkhidmat di negeri kelahiran selepas hampir tiga dekad menimba pengalaman di Semenanjung Malaysia.
“Alhamdulillah… Masa untuk berkhidmat di negeri kelahiran pula setelah hampir 30 tahun berkelana di Semenanjung Malaysia (belajar + bekerja). Terima kasih kepada pucuk pimpinan yang memberikan kepercayaan untuk memimpin negeri Sarawak, insya-Allah,” katanya.
Mohamad Zainal juga dikenali sebagai pegawai yang mempunyai latar akademik cemerlang.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (UiTM), Ijazah Sarjana Undang-Undang (UiTM), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Sosial dan Keadilan (UM) serta Ijazah Sarjana Sumber Manusia (UPM).
Selain itu, beliau merupakan graduan program pengurusan lanjutan di Harvard Business School, Universiti Harvard, Amerika Syarikat.
Pelantikan beliau adalah sebahagian daripada pertukaran serta kenaikan pangkat membabitkan 38 pegawai kanan PDRM. Bagaimanapun, senarai penuh pertukaran itu masih belum diumumkan secara rasmi setakat ini.
Sementara itu, Mancha yang berasal dari Samarahan, pernah berkhidmat lebih tiga dekad dalam PDRM dan dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 2020.
Beliau dikenang sebagai pegawai berprofil tinggi dengan pengalaman luas dalam bidang keselamatan dan pengurusan kontinjen.
Oleh Shahrul Qaizat