
SIBU: Bermula sekadar ingin menambah pendapatan sampingan, Valerie Rose Joseph Ngumbang — atau lebih dikenali sebagai Dara Menua Latung — kini berjaya melestarikan warisan keluarganya dalam pembuatan belacan buatan sendiri yang mendapat sambutan luar biasa, termasuk dari luar negara.
Berasal dari Miri dan kini menetap di Bintulu, Valerie mula mempelajari seni pembuatan belacan daripada ibunya dan kakak, sebelum menghasilkan sendiri produk berasaskan bubuk sejak tahun 2019.
“Musim bubuk yang biasanya bermula sekitar Mac hingga Ogos adalah waktu yang paling saya nanti-nantikan untuk menghasilkan belacan, cencaluk, sambal bubuk pedas serta air belacan,” katanya kepada pemberita.

Menurut Valerie, penghasilan belacan memerlukan ketelitian serta masa yang panjang bagi menjamin kualiti dan kebersihan produk.
“Saya sangat menekankan aspek kebersihan kerana produk ini untuk dijual kepada orang ramai.
“Proses membuat belacan bukanlah singkat, kerana ia mengambil masa lebih seminggu, bergantung kepada keadaan cuaca. Jika cuaca panas, proses pengeringan lebih cepat kerana saya menggunakan kaedah jemuran secara tradisional,” jelasnya.
Tambah Valerie, resipi belacan yang dihasilkannya adalah gabungan inovasi sendiri bersama kaedah tradisional, menghasilkan produk yang unik berbanding yang sedia ada di pasaran.

“Saya menggunakan bahan seperti garam kasar, gula perang dan gula apong. Bubuk pula saya beli terus daripada peniaga tempatan di tamu dan bukan melalui pembekal, bagi memastikan kesegaran dan kawalan harga,” katanya.
Bagi produk cencaluk pula, Valerie mempraktikkan proses pembuatan yang lebih teliti, termasuk penggunaan air beras bagi memastikan ia tahan lama apabila disimpan dalam peti sejuk.
“Saya tidak menggunakan kaedah memasak dalam pembuatan belacan kerana percaya kaedah jemuran lebih mengekalkan aroma dan rasa asli,” katanya lagi.
Dari segi pemasaran, Valerie mengakui penggunaan platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan WhatsApp banyak membantu memperkenalkan produknya kepada pelanggan, termasuk dari luar negara.

“Sebahagian besar pelanggan saya adalah dari Sarawak, selain dari Semenanjung Malaysia, Singapura dan juga Dubai,” ujarnya.
Meskipun berdepan persaingan, Valerie menyambutnya secara positif dan percaya setiap usahawan mempunyai keunikan tersendiri dalam produk masing-masing.
Valerie turut menzahirkan harapan untuk membuka kedai makanan sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang, sekiranya diberi peluang dan ruang untuk mengembangkan perniagaan sedia ada.
“Saya mahu produk makanan saya dikenali dan diterima secara meluas seperti usahawan-usahawan berjaya yang lain.
“Semoga impian ini akan menjadi kenyataan,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting