
PETALING JAYA: Selepas hampir tiga dekad perjalanan seni muzik, Rabbani kembali dengan konsert berskala besar yang mengimbau era emas nasyid serta menyatukan hampir 5,000 peminat pada malam penuh nostalgia dan dakwah.
Sebaik sahaja tirai konsert dibuka di Arena Live di sini pada Sabtu lepas, Rabbani menerima tepukan gemuruh penonton apabila muncul dengan busana Melayu bertanjak berwarna-warni yang menampilkan aura tradisi penuh gaya.
Konsert bermula dengan alunan lagu Assalamualaikum sebagai salam pembuka, sebelum diteruskan dengan Bila Nur Melimpah Di Hati yang membawa aura nostalgia era 90-an, diikuti Cari Pasangan dan Anak Soleh yang turut dinyanyikan bersama-sama oleh penonton dengan penuh bersemangat.
Suasana kemudian bertambah segar apabila kumpulan Aeydan yang dianggotai anak-anak ahli Rabbani, tampil di atas pentas untuk bergabung menyanyikan lagu Di Pondok Kecil sebelum persembahan diteruskan dengan lagu Bintang dan Purnama yang menjadikan segmen pertama penuh variasi dan bertenaga.
Dalam selingan pada awal konsert, ketua kumpulan Azadan Abdul Aziz berkata konsert itu bukan sekadar hiburan, tetapi bertujuan menyatukan penonton dalam wadah dakwah dan santapan rohani.
“Kita berhimpun malam ini sebagai satu wadah, bukan hanya untuk berhibur tetapi juga untuk menyuburkan kecintaan kepada Rasullullah SAW,” katanya dan menambah Rabbani akan terus berusaha memastikan irama nasyid kekal segar dan relevan.
Selepas sejam persembahan berlangsung, Rabbani membuka segmen kedua menerusi lagu Handzalah, diikuti Satu Qiblat Yang Sama serta Berpaut Pada Sabdamu yang menekankan mesej perjuangan serta kecintaan kepada Rasulullah sambil mempamerkan kekuatan vokal dan susunan muzik segar kumpulan itu.
Momentum konsert terus memuncak apabila Rabbani mendendangkan Apa Yang Kau Tahu yang disambut dengan kemunculan Yabang, vokalis kumpulan Khalifah, sebelum mereka berganding menyanyikan lagu Pejalan Malam yang menambahkan lagi kepelbagaian warna muzik malam itu.
Suasana bertukar syahdu apabila Rabbani mengalunkan Syahadah sebelum bergabung dengan kumpulan Brothers dalam lagu malar segar Teman Sejati dan Untukmu Teman yang disulami dengan nyanyian penonton.
Segmen paling dinantikan malam itu ialah penghormatan khas buat vokalis utama Rabbani, Allahyarham Asri Ibrahim yang diserikan dengan tayangan montaj serta rakaman eksklusif di layar utama sebelum lagu-lagu ikonik seperti Pergi Tak Kembali dan Husnul Khatimah dialunkan penuh penghayatan sehingga mengundang rasa syahdu dalam kalangan penonton.
Malam penuh nostalgia dan dakwah itu mencapai kemuncaknya dengan alunan Intifada yang disampaikan penuh bersemangat sambil menyeru solidariti bersama-sama rakyat Palestin serta menekankan mesej perpaduan sejagat, sebelum semua artis jemputan kembali ke pentas untuk bersama-sama menutup konsert dengan penuh makna.- Bernama