KETIKA desas-desus berita peletakan jawatan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kini Tun) sebagai Speaker Dewan Negara, dilaporkan beliau sedang bersiap-sedia untuk menyandang jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Kebetulan ramai melihat potensi beliau sebagai pemimpin yang mempunyai pakej lengkap bakal menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-8. Sudah pasti perubahan ini dijangka berlaku.
Tun Taib sebelum ini menjawat jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh sejak 1 Mac 2014 dan sudah beberapa kali disambung menyandang jawatan tersebut sehingga 26 Januari 2024. Patah tumbuh hilang berganti, jasa Tun Taib sebagai arkitek moden ‘Bapa Pembangunan Sarawak’ sebelum ini sebagai Ketua Menteri Sarawak tidak pernah dilupakan oleh rakyat Sarawak.
Pengumuman rasmi
Akhirnya, spekulasi pelantikan TYT Sarawak baharu terjawab apabila Wan Junaidi menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat ini berlangsung dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara Jumaat lalu. Tempoh sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak adalah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak selama empat tahun bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.
Di Sarawak pula majlis mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri ke- 8 dilangsungkan pada Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebelum menandatangani Surat Sumpah yang disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli. Turut hadir ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Latar belakang TYT baharu
Wan Junaidi adalah keturunan Sayyid Arab Hadrami bernasabkan Tuanku Zainal Abidin Al-Bin Yahya, asal dari Terengganu berhijrah ke Pulau Burung, Sebuyau pada sekitar abad ke 1800. Kawasan ini dikenali sekarang sebagai sebahagian dari Kota Samarahan.
Keturunan beliau juga ada yang berhijrah ke Stoh di Lundu ketika perang dunia kedua. Namun, Wan Junaidi dilahirkan di Kampung Pendam, Simunjan pada 1 Februari 1946. Sekolah Rakyat Kampung Pendam merupakan sekolah bersejarah kerana di sinilah beliau pernah menerima pendidikan sekolah rendah selama dua tahun (1956-1958). Sekolah ini sekarang dikenali sebagai Sekolah Rendah Kerajaan Sadong Jaya. Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Sekolah Kebangsaan Abang Man pada 1959 dan 1960.
Hijrah
Dunia Wan Junaidi penuh dengan penghijrahan dan sebagaimana dijanjikan dalam Islam bahawa berhijrah membolehkan kehidupan dan masa depan serta rezeki yang lebih baik. Pada 1961 hingga 1963 beliau meneruskan pendidikan di Maderasah Melayu di Kuching. Kemudian menyertai pasukan polis pada 1964 dan kemudian berkhidmat dalam pelbagai cawangan termasuk sebagai pegawai Aide De Camp (ADC) atau pegawai pengiring kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak, anggota Pasukan Polis Hutan di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom) dan turut terlibat dalam penentangan terhadap komunis di Sibu, Sarikei, Miri, Bintangor, Muara Tebas dan Kapit.
Wan Junaidi melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Lima dan Enam melalui Stamford College Correspondence School di Singapura sekitar 1974 hingga 1977. Kemudian beliau melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Buckingham pada akhir 1978 dan lulus pada 1981.
Apabila kembali ke tanah air, beliau dilantik ketua latihan di Pusat Latihan Polis di Bukit Siol Sarawak. Jawatan terakhir beliau ialah Pegawai Kawalan Trafik Kuching. Namun selepas enam bulan memegang jawatan Asisten Superintendan Polis (ASP), beliau meletak jawatan bagi membuka firma guaman sendiri.
Dunia politik
Tidak ramai mengetahui Wan Junaidi pernah aktif sebagai anak generasi baharu ketika itu dan terlibat dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Satok pada awal penglibatan politik. Kemudian selepas itu, barulah beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar (Sadong) pada 1990, kemudian berpindah di Santubong (2004-2022).
Sejak 2007 hingga 25 Januari 2024, beliau ialah Ahli Majlis Tertinggi PBB. Jawatan politik awal disandang Wan Junaidi ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rakyat (2008-2013), kemudian dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri (2013-2015). Ketika itu, Zahid Hamidi menjadi Menteri Dalam Negeri yang banyak memberikan peluang beliau untuk mengembangkan potensi diri.
Melihat potensi dan prestasi yang ada, Zahid Hamidi memberikan sokongan penuh kepada Wan Junaidi untuk dinaikkan sebagai menteri penuh kepada Datuk Seri Najib Razak ketika itu sebagai Perdana Menteri. Justeru, Wan Junaidi diangkat sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2015-2018).
Selepas itu, pada 2020-2021, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi. Ketokohan Wan Junaidi berada di peringkat puncak apabila beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang fokus kepada Parlimen dan Undang-Undang yang melonjakkan nama beliau dengan pelbagai pembaharuan termasuk Akta Lompat Parti.
Khidmat negara
Beliau mengumumkan pengunduran diri bagi memberikan laluan kepada generasi muda apabila membuat keputusan tidak bertanding di Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022. Namun tidak lama selepas itu, beliau pernah dipelawa sebagai Speaker Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri pada awal pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Hal ini kerana pengalaman luas beliau dalam bidang undang-undang. Ketika itu, beliau lebih memilih untuk berehat seketika. Namun selepas itu ditawarkan lagi untuk perkhidmatan negara sebagai Speaker Dewan Negara. Kali ini, beliau memilih untuk berkhidmat selagi khidmat diperlukan negara.
Di sini, terserlah prestasi dan keupayaan beliau dalam membawa transformasi Dewan Negara yang lebih baik. Pengalaman sebagai ahli Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan pernah membentangkan kertas kerja di jawatankuasa Hak Asasi Manusia Kesatuan Antara Parlimen di Havana Cuba, ahli seumur hidup Persatuan Komanwel, Ahli International Parliamentary Union (IPU) Malaysia, Pengerusi Pertama Kaukus Perhimounan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), dan merupakan Ahli Parlimen ASEAN pertama menjadi pengerusi Kaukus Parlimen ASEAN kali ke-2 adalah antara pengiktirafan terhadap prestasi tinggi beliau.
Kepelbagaian
Selain itu, beliau pernah menjadi Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak, Timbalan Presiden Persatuan Bekas Polis Sarawak, Ahli Perseorangan Pengakap Sedunia Kesatuan Parlimen (WPSU), Presiden 32 Negara Pencinta Biodiversiti, dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Ekonomi Baru Sarawak adalah jawatan pernah disandang beliau yang menunjukkan keserbabolehan beliau dalam pelbagai jurusan bidang.
Kesemua ini banyak mematangkan dan membijaksanakan beliau dan ini juga sebagai asas memahami kepelbagaian dan kerencaman kehidupan ini. Lulusan ijazah Doktor Falsafah Pentadbiran Perniagaan dari Southern California University ini juga adalah pencinta buku. Beliau bukan sahaja minat membaca, akan tetapi beliau juga penulis yang prolifik dalam menulis pelbagai buku termasuk buku Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia yang menjadi rujukan bidang undang-undang dan pentadbiran awam dan beberapa buku yang lain.
Banyak lagi perihal mengenai latar Tun Dr Wan Junaidi yang belum sempat diserlah kerana keterbatasan ruang ini. Sinegi peranan Tun Dr Wan Junaidi sebagai TYT Sarawak baharu dan Premier Sarawak dijangka mampu membawa pembangunan, kemajuan, keharmonian dan kesejahteraan negeri Sarawak lebih bertenaga dan menjadi lebih baik berbanding negeri-negeri lain di negara ini.
Selamat berkhidmat Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar!
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).