
MIRI: Sebuah rumah satu tingkat separuh kekal di Kampung Senadin, di sini, hampir musnah selepas bahagian dapur terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelemat Lutong Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.28 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba pada 6.35 pagi, pasukan mendapati kebakaran berlaku di bahagian dapur rumah membabitkan perkakas elektrik.
“Api bagaimanapun telah berjaya dipadamkan oleh penghuni sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kebakaran menjejaskan kawasan dapur berkeluasan 15×20 kaki dengan kemusnahan dianggarkan 15 peratus.

“Tiada operasi pemadaman dijalankan, namun pemeriksaan keselamatan dan kerja size-up dilakukan bagi memastikan tiada risiko kebakaran semula.
” Pasukan turut memasang sawar-sawar untuk tujuan keselamatan dan siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pemilik rumah tiada di kediaman itu sejak dua hari lalu dan kebakaran disedari oleh anaknya, yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Anggaran kerugian dianggarkan kira-kira RM4,000 dan tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Operasi tamat sepenuhnya pada 7.08 pagi.