
SIBU: Sebuah rumah dua tingkat jenis kekal di Jalan Maludan Utara, mengalami kebakaran pada bahagian dapur awal pagi tadi, namun semua penghuni berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.47 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian, iaitu pada 2.54 pagi.
Kebakaran melibatkan bahagian dapur rumah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadam kebakaran.

“PKO turut membuka bahagian atap dapur untuk tujuan pengudaraan bagi mengeluarkan asap,” ujarnya.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada 3.10 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.00 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Menurutnya, anggaran kemusnahan adalah 100 peratus di bahagian dapur, namun kesemua empat penghuni rumah berkenaan, termasuk seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang bayi perempuan, berjaya keluar dengan selamat.
Operasi melibatkan seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Jenterta Bomba dan Penyelamat (FRT) dan sebuah unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Penyelamatan (EMRS).
Turut berada di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu mengawal keadaan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Akun Giman