
KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak perlu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan suara rakyat dapat disuarakan dengan lebih berkesan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong Wui Wui, berkata dua kerusi yang dimiliki DAP Sarawak ketika ini tidak mencukupi untuk menjalankan peranan semak dan imbang secara efektif.
“Dua kerusi tidak cukup. Suara saya seorang di DUN Sarawak tidak mencukupi, sedangkan terdapat 82 kerusi keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi Ibu Pejabat DAP Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pilihan raya negeri dijangka diadakan pada bila-bila masa tahun ini dan justeru semua ahli serta jentera parti perlu bersiap sedia, bersatu dan mengetepikan kepentingan peribadi demi matlamat lebih besar.
Menurutnya, DAP Sarawak kekal sebagai parti berprinsip yang menentang rasuah, mempertahankan demokrasi, menegakkan keadilan serta menjadi suara kepada rakyat.
Violet Yong turut menjelaskan bahawa penambahbaikan dan pembangunan Ibu Pejabat DAP Sarawak bukan sekadar melibatkan fizikal bangunan, sebaliknya sebagai persediaan parti untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan selesa kepada masyarakat.
“Ibu pejabat ini telah berusia 16 tahun sejak kami berpindah pada 8 Mac 2010. Naik taraf ini penting supaya masyarakat lebih selesa mendapatkan khidmat dan bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru generasi muda untuk tampil memainkan peranan lebih aktif serta memikul tanggungjawab dalam perjuangan parti, selain memperkukuh perkhidmatan barisan hadapan kepada rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penaja dan penyokong yang telah memberi sokongan sehingga membolehkan penambahbaikan ibu pejabat tersebut direalisasikan.
“Tanpa rakyat, tiadalah DAP. Kita mesti sentiasa bersama rakyat dan berjuang untuk kepentingan mereka,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud