
KOTA SAMARAHAN: DAP akan tetap bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook.
Katanya, DAP pusat memberi autonomi penuh kepada DAP negeri ini untuk menentukan strategi serta calon parti bagi menghadapi PRN nanti.
“Kepimpinan pusat tidak akan campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh DAP Sarawak termasuk soal jumlah calon yang akan bertanding.
“Kita tunggu dahulu bila pilihan raya negeri akan diadakan kerana Premier Sarawak belum umumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Berapa jumlah calon dan strategi yang akan digunakan, akan diumumkan kemudian selepas DUN dibubarkan.
“DAP Sarawak mempunyai autonomi untuk membuat keputusan sendiri dari segi calon dan strategi pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir majlis perasmian laluan baharu Bas.My Kuching di sini, hari ini.
Pada PRN ke-12, 2021, DAP bertanding di 26 kawasan, namun cuma menang dua kerusi iaitu Pending dan Padungan.
Pada PRN Sarawak 2016 sebelum itu, DAP memenangi tujuh kerusi, jadi keputusan 2021 dianggap kemerosotan besar buat parti tersebut.
Loke bagaimanapun berkata, kepimpinan DAP Sarawak mempunyai perancangan tersendiri berdasarkan situasi politik negeri.
“Mereka mempunyai rancangan dan keputusan sendiri, jadi saya tidak mahu campur tangan dalam perkara itu,” jelasnya.
Untuk rekod, PRN Sarawak dijangka menjadi tumpuan politik tahun ini memandangkan penggal pentadbiran semasa bakal menghampiri tempoh matang selepas pilihan raya negeri terakhir diadakan pada Disember 2021.
Oleh Masrin Affirah