KUCHING: DAP Sarawak mengesahkan akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang susulan sokongan padu daripada perwakilan parti dan kepimpinan negeri bertekad mencapai hasil yang lebih baik, kata Pengerusinya, Chong Chieng Jen.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuching dipilih semula untuk jawatan itu pada pemilihan Jawatankuasa DAP negeri sempena Konvensyen Biasa Negeri DAP Sarawak berkata, mandat besar diterima daripada perwakilan adalah faktor utama di sebalik keputusan berkenaan.
“Kami mendengar daripada perwakilan, melalui angkat tangan anda, harapan perwakilan dan akan meneruskan perjuangan kami selaras dengan itu,” katanya berucap di hadapan perwakilan selepas selesai proses pemilihan di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim ketika berucap pada perasmian konvensyen itu mengesahkan sokongan tidak berbelah bahagi kepimpinan parti untuk DAP Sarawak dan berikrar untuk bersama-sama mereka dalam persiapan menghadapi PRN Sarawak akan datang.
“Saya ingin menegaskan sokongan DAP pusat kepada semua rakan kami di DAP Sarawak. kita akan bersama-sama anda teruskan perjuangan ini untuk rakyat Sarawak,” katanya.
Antara yang dipilih menganggotai Jawatankuasa DAP Sarawak 2024-2027 adalah Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau sebagai Timbalan Pengerusi; Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol (Naib Pengerusi); Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling (Naib Pengerusi); Alan Ling (Setiausaha) dan Larry Asap (Penolong Setiausaha).
Turut dilantik Chiew Chiu Sing (Bendahari), Violet Yong (Setiausaha Organisasi), Teng Mee Hing (Penolong Setiausaha Organisasi), Roderick Wong (Penolong Setiausaha Organisasi), Kelvin Yii (Setiausaha Publisiti), Michael Kong (Penolong Setiausaha Publisiti) dan Irene Chang (Pengarah Pendidikan Politik).– BERNAMA