KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak sepatutnya meminta pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) meletakkan sendiri tulisan Bahasa Mandarin pada papan tanda di sekitar bandar daripada melakukannya sendiri.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan Sim Kiang Chiok berkata, DAP menunjukkan contoh yang tidak baik dan mungkin menimbulkan kekacauan dan melanggar undang-undang negeri.
“Perbuatan mereka sama sekali tidak boleh diterima oleh parti politik yang mempunyai jumlah ahli yang terdiri daripada banyak peguam.
“DAP menyatakan mereka melakukan perkara itu kerana hilang tulisan bahasa Mandarin dan menuduh Gabungan Parti Sarawak (GPS) seperti UMNO dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
“Namun perkara tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana GPS sentiasa bersikap inklusif dan propaganda negatif DAP ini bertujan untuk memecah belah perpaduan kita yang sangat berharga dengan tujuan meraih undi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tegasnya, tindakan DAP itu adalah sangat tidak bertanggungjawap dan ia mengganggu keharmonian masyarakat serta melakukan politik di Sarawak seperti di tanah melayu dan mereka ditolak oleh rakyat Sarawak.
“GPS tidak menggunakan bangsa dan agama untuk meraih undi rakyat tetapi sebaliknya mendapat sokongan melalui dasar kita yang bertolak ansur, pelbagai kaum dan perkongsian kuasa di antara semua serta akan sentiasa melindungi perpaduan negeri.
Sehubungan itu, rakyat Sarawak harus bangkit dan berhenti disesatkan oleh DAP kerana mereka tidak menunjukkan prestasi baik dalam 22 bulan sebagai Kerajaan Persekutuan, malah Ahli Parlimen Padungan Wong Kim Wee telah mengundurkan diri dari parti itu jelas menunjukkan bahawa DAP bukan untuk Sarawak,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Sim berkata di Stakan baru-baru ini, penduduk setempat juga mempunyai masalah yang sama dengan papan tanda jalan iaitu tulis Mandarin hilang atau pudar dan DAP berusaha mengambil kesempataan atas masalah itu namun ia telah segera digantikan oleh Majlis Perbandaran.
“Selain itu, beberapa jalan di kawasan bersejarah di Kuching mempunyai tulisan mandarin pada papan tanda dan DBKU masih membiarkan ia sehingga hari ini.
“Contohnya di Jalan Gambier, Jalan Ewe Hai, Jalan Carpenter, Jalan China, Jalan Khoo Hun Yeang, dan banyak lagi, namun di Main Bazzar, Jalan Wayang dan Jalan Green Hill tulis bahasa Mandarin telah hilang.
“Jalan-jalan ini berada di kawasan warisan kita dan menyimpan banyak sejarah kita, malah nama Mandarin mempunyai makna dalam sejarahnya dan mencerminkan budaya dan tradisi negeri seperti Jalan Carpenter dengan nama Mandarin adalah Attap St yang mencerminkan jalan lama itu terbakar pada akhir tahun 1800,” jelasnya.