DAP hulur bantuan kepada pemilik rumah terjejas akibat angin kencang

Facebook
WhatsApp
RUMAH rosak akibat angin kencang, DAP aktif Bantuan Bencana

KUCHING: Beberapa rumah di kawasan Parlimen Bandar Kuching mengalami kerosakan selepas dilanda angin kencang petang semalam, termasuk bumbung tercabut, beralih kedudukan dan mengalami kerosakan teruk.

Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, Pusat Khidmatnya telah mengaktifkan Bantuan Bencana bagi membantu isi rumah yang terjejas menangani keperluan segera susulan kejadian itu.

Beliau berkata, pasukan khidmatnya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong dan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen turut mengunjungi kawasan serta rumah yang terjejas sejurus kejadian bagi menilai kerosakan dan memahami kesukaran yang dihadapi penduduk.

“Beberapa rumah lama di kawasan seperti Kenyalang turut terjejas, dengan sebahagian bumbung mengalami kerosakan teruk akibat tidak mampu menahan angin kencang,” katanya.

TINJAU… Pasukan khidmat Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii bersama ADUN Pending, Violet Yong dan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen meninjau rumah yang terjejas akibat angin kencang di kawasan Parlimen Bandar Kuching.

Yii berkata, kerosakan berkenaan turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penghuni serta masalah kebocoran air.

Bantuan berkenaan meliputi kawasan DUN Pending, Batu Lintang dan Padungan.

Pemohon yang layak mestilah mempunyai alamat kediaman dalam kawasan Parlimen Bandar Kuching, manakala pemilik rumah perlu merupakan pengundi di kawasan berkenaan.

Pemohon perlu mengemukakan salinan kad pengenalan pemilik rumah, bil elektrik atau air terkini serta gambar kerosakan bumbung dan bahagian rumah yang terjejas sebagai bukti.

Sekiranya pemilik rumah telah meninggal dunia, salinan sijil kematian boleh dikemukakan dan ahli keluarga terdekat boleh membuat permohonan bagi pihak pemilik berkenaan.

Pemilik rumah yang terjejas boleh menghubungi George di talian 011-25181872, June di 016-8552213 atau Lesley di 019-8567887.

Yii berkata, Pusat Khidmatnya akan sedaya upaya membantu keluarga yang terjejas dalam tempoh sukar itu serta menyalurkan bantuan segera mengikut kemampuan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada ketika cuaca buruk dan mengutamakan keselamatan dengan mengelakkan aktiviti di luar jika tidak perlu, selain menjauhi pokok, papan tanda, talian elektrik dan kawasan lain yang berisiko ketika angin kencang.

Oleh Connie Chieng